RM11.4 bilion untuk pembangunan bumiputera dalam Bajet 2022


Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz berkata peruntukan RM11.4 bilion untuk pembangunan bumiputera meliputi pinjaman pendidikan, menaik taraf program sijil ke diploma, selain usaha melahirkan profesional perubatan, kejuruteraan dan kewangan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Oktober, 2021.

SEBANYAK RM11.4 bilion dikhaskan bagi pembangunan bumiputera, termasuk RM6.6 bilion untuk pendidikan melalui Bajet 2022, kata Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz.

Dana RM6.6 bilion itu akan disalurkan melalui Mara, UiTM dan Yayasan Peneraju, katanya sewaktu membentangkan belanjawan tersebut di Dewan Rakyat.

Ia meliputi pinjaman pendidikan, menaik taraf program sijil ke diploma, selain usaha melahirkan profesional dalam kalangan Bumiputera di bidang perubatan, kejuruteraan dan kewangan, katanya.

Selain itu, RM4.8 bilion disedia untuk peningkatan kapasiti dan pembiayaan perniagaan bawah Perbadanan Usahawan Nasional Berhad, Tekun Nasional dan Dana Kemakmuran Bumiputera.

Tambahnya, syarikat utama akan mendapat potongan cukai dua kali ke atas perbelanjaan operasi sebagai usaha meningkatkan penglibatan dalam membangunkan vendor bumiputera.

Selain itu, dana RM200 juta disediakan untuk bagi menggalakkan penyertaan belia bumiputera dalam melaksanakan projek berskala kecil perolehan kerajaan.

Program khas juga akan diwujudkan melalui CIDB, khusus kepada kontraktor belia G1 hingga G4 melalui kursus peningkatan kapasiti dan latihan dalam tugas yang melibatkan peruntukan RM10 juta, katanya. – 29 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen