Puluhan didakwa terlibat rusuhan di Sweden 


Sekumpulan perusuh menyerang kenderaan kecemasan pada perhimpunan di Gothenburg pada Jun 2020.– Gambar EPA, 28 Oktober, 2021.

PENDAKWA Sweden memfailkan pendakwaan terhadap puluhan individu yang terlibat dalam rusuhan ganas selepas protes aman  Black Lives Matter tahun lalu. 

Protes yang menyaksikan ribuan berhimpun di selatan bandaraya Gothenburg pada Jun 2020, berakhir dengan aman dan ditamatkan oleh penganjur, kata pihak berkuasa. 

Namun kumpulan itu kemudian berpecah dan terus berarak ke dataran umum di tengah Gothenburg, menyebabkan tercetus ketegangan. 

Pihak pendakwa raya Sweden berkata, 36 individu didakwa berhubung insiden itu. 

“Keganasan dicetuskan oleh perusuh berkenaan yang bertindak menendang, memukul dan membaling batu serta objek lain ke arah polis dan kenderaan pihak berkuasa,” kata pendakwa raya Elizabeth Trouve dalam satu kenyataan. 

Pendakwaan dibuat berhubung rusuhan ganas, sabotaj kenderaan kecemasan, vandalisme, keganasan dan melakukan serangan terhadap anggota polis, kata pihak pendakwaan. 

Kebanyakan bukti diperoleh menerusi video kamera badan anggota polis, dron dan rakaman orang awam serta kamera litar tertutup, tambahnya. 

Gerakan Black Lives Matter diasaskan pada 2013 di Amerika Syarikat yang kemudian terus berkembang pada musim panas tahun 2020. 

Perhimpunan itu berlangsung di seluruh dunia susulan beberapa kes keganasan polis di Amerika Syarikat, termasuk kematian George Floyd dan Breonna Taylor. – AFP, 28 Oktober, 2021.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen