Menteri dalam negeri Ecuador letak jawatan


Menteri Dalam Negeri Ecuador Patricio Pazmino semalam umum letak jawatan. – Gambar AFP, 6 Mac, 2021.

MENTERI dalam negeri Ecuador semalam umum letak jawatan susulan rusuhan dalam penjara yang meragut nyawa 79 banduan.

“Ini adalah keputusan saya sendiri,” kata Patricio Pazmino dalam surat kepada Presiden Ecuador Lenin Moreno, yang kemudian disiarkan di Twitter.

Pazmino juga berkata keputusan tersebut dibuat atas faktor kesihatan, memandangkan beliau dua kali disahkan positif Covid-19.

Jangkitan virus Covid-19 menambah komplikasi penyakit serius yang sedang dihadapinya, yang menyukarkannya meneruskan tugas di pejabat, tambah beliau.

Pazmino dilantik sebagai menteri dalam negeri pada November tahun lalu selepas Maria Paula Romo dipecat kerana membenarkan polis bertindak ganas terhadap ribuan penunjuk perasaan antikerajaan pada Oktober 2019.

Majlis Nasional pada Isnin mendesak Pazmino, ketua polis dan pengarah penjara meletak jawatan. 

Peletakan jawatan Pazmino itu menyusul seminggu selepas rusuhan yang Moreno sifatkan sebagai amat kejam.

Menurut pihak berkuasa, rusuhan berpunca daripada persaingan kumpulan penjenayah yang ada kaitan dengan kartel dadah Mexico dan Colombia. – AFP, 6 Mac, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen