Mentafsir Kertas Pandora


Raevathi Supramaniam

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz antara individu berprofil tinggi yang disebutkan di dalam Kertas Pandora. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Oktober, 2021.

KERTAS Pandora yang didedahkan awal bulan ini mencetuskan perdebatan mengenai etika golongan elit Malaysia memegang akaun luar pesisir apabila sebahagian daripada mereka juga menteri dan wakil rakyat.

Kertas Pandora adalah kebocoran data yang didedahkan oleh Konsortium Wartawan Penyiasatan Antarabangsa (ICIJ) berkenaan golongan kaya dan berkuasa di seluruh dunia menggunakan akaun luar pesisir di tempat perlindungan cukai bagi menyimpan kekayaan mereka.

Ia melibatkan hampir 12 juta dokumen yang terbesar setakat ini dan membabitkan 35 pemimpin dunia semasa dan bekas pemimpin, lebih 330 ahli politik dan pegawai awam di 91 negara serta wilayah.

Ini merupakan penyiasatan keempat yang dijalankan oleh ICIJ dengan bantuan 600 wartawan dari 117 negara.

Kebocoran maklumat hasil dari 14 sumber yang membocorkan 2.94 terabait fail sulit.

Sebelum ini pada 2013, ICIJ mendedahkan Kebocoran Luar Pesisir yang melibatkan pendedahan 2.5 juta fail diikuti oleh Kertas Panama pada 2016 yang mendedahkan 11.5 juta fail dan Paradise Papers pada 2017 yang melibatkan 13.4 juta fail.

Sehingga kini, dianggarkan sekitar AS$5.6 trilion (RM21.58 trilion) hingga AS$32 trilion (RM132.78 trilion) daripada kekayaan dunia tersimpan dalam akaun luar pesisir.

Apakah akaun luar pesisir?

Akaun luar pesisir ialah akaun yang dibuka di negara di mana individu itu tidak tinggal, biasanya tempat perlindungan cukai seperti British Virgin Islands, Kepulauan Cayman dan Singapura.

Menurut HSBC, akaun luar pesisir ialah cara yang berkesan untuk mengurus kewangan seseorang merentasi pelbagai negara dan wilayah.

Bank menyenaraikan penjimatan cukai, keselamatan dan kesederhanaan akaun luar pesisir sebagai salah satu alasan utama mereka membuka akaun sedemikian.

Menubuhkan akaun luar pesisir sahaja bukanlah menyalahi undang-undang tetapi sejak kebelakangan ini ia dipersoalkan kerana pihak yang tidak bertanggungjawab menggunakan kelemahan dalam sistem untuk memindahkan wang melalui rangkaian rahsia syarikat bagi menyembunyikan hasil dari aktiviti jenayah.

Siapa yang disebutkan dalam Kertas Pandora?

Di Malaysia, pendedahan dalam Kertas Pandora menyebutkan beberapa individu berprofil tinggi termasuk Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, Presiden Umo Ahmad Zahid Hamidi, bekas menteri kewangan Daim Zainuddin, Timbalan Menteri Kewangan II Yamani Hafez Musa dan Ahli Parlimen Selayang William Leong.

* Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz

Menteri kewangan ini disebut sebagai pengarah Capital Investment Bank (Labuan) Limited, sebuah bank yang diperbadankan di Labuan, dalam dokumen daripada firma guaman Panama Alemán, Cordero, Galindo & Lee (Algocal).

Capital Investment adalah unit pelaburan luar pesisir Kenanga Holdings Bhd. Kumpulan Kenanga menjual kesemua saham bernilai lebih RM6 juta kepada Amanie Corp Advisors Sdn Bhd pada 2014.

Bekas pegawai bank itu berkata beliau adalah pengarah kumpulan dan ahli jawatankuasa pengurusan eksekutif Kenangan Holdings Bhd dari Januari 2009 hingga Jun 2010.

Beliau bagaimanapun sudah melepaskan semua jawatan eksekutif dan pengarah di Kenanga Group pada 2010.

* Ahmad Zahid Hamidi

Presiden Umno itu disebutkan sebagai pengarah sebuah firma bernama Breedon Limited di British Virgin Island (BVI).

Firma itu diperbadankan pada September 1996 dengan Zahid dan Fon Kin Voon sebagai pengarah sebelum nama syarikat itu ditukar kepada Rising Resources (BVI) Limited pada November tahun itu.

Pada 1999, syarikat itu mempunyai modal saham AS$50,000 tetapi sifat perniagaan itu tidak didedahkan.

Dokumen-dokumen dari Algocal menunjukkan syarikat itu “dibatalkan” kerana tidak aktif beberapa tahun selepas penubuhannya. – 28 Oktober, 2021.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen