Parlimen naikkan denda, hukuman penjara jenayah berkait hidupan liar


Rang Undang-Undang Pemuliharaan Hidupan Liar (Pindaan) 2021 dibacakan Menteri Tenaga dan Sumber Asli Takiyuddin Hassan bertujuan menambah baik Akta 716 sedia ada yang tidak dapat menurunkan kadar jenayah terhadap hidupan liar dan seterusnya menyebabkan kepupusan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Oktober, 2021.

DEWAN Negara hari ini sebulat suara meluluskan Rang Undang-Undang Pemuliharaan Hidupan Liar (Pindaan) 2021 agar lebih responsif kepada keperluan semasa dalam membanteras jenayah terhadap hidupan liar.

Pindaan akta itu antara lain mencadangkan denda maksimum dinaikkan bagi kesalahan berat seperti kes melibatkan pemburuan haram hidupan liar daripada RM500,000 kepada RM1 juta serta hukuman penjara maksimum ditingkatkan dari 10 tahun kepada 15 tahun.

Rang undang-undang itu dibentang untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat hari ini dan adalah kali pertama pindaan dibuat bagi Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).

Rang undang-undang itu dibacakan Menteri Tenaga dan Sumber Asli Takiyuddin Hassan bertujuan menambah baik Akta 716 sedia ada yang tidak dapat menurunkan kadar jenayah terhadap hidupan liar dan seterusnya menyebabkan kepupusan.

“Pendekatan ini bukan sahaja bertujuan untuk melindungi hidupan liar malah turut juga melindungi habitatnya.

“...saya yakin rang undang-undang yang dikemukakan ini akan dapat memastikan konservasi hidupan liar melalui pengawalan, pengurusan dan penguatkuasaan dapat dilaksanakan dengan lebih cekap dan berkesan bagi melindungi dan memulihara hidupan liar di negara ini,” katanya.

Antara pindaan yang dilaksanakan ke atas akta itu merangkumi skop perlindungan terhadap hidupan liar dengan perkembangan teknologi dan isu semasa memandangkan pada masa ini, tiada peruntukan yang membolehkan tindakan diambil terhadap individu yang mengiklankan penjualan hidupan liar dalam talian.

Beliau berkata situasi ini telah menjadi faktor penggalak kepada pemburu haram mengeksploitasi hidupan liar dan menjual secara terus melalui platform media sosial dan e-dagang kepada pembeli. 

Ini adalah kali pertama undang-undang hidupan liar dipinda sejak diperkenalkan pada 2010.

Pindaan itu diluluskan sebulat suara oleh Dewan Rakyat pada 6.30 petang. – Bernama, 26 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen