PRN Melaka tentukan parti Melayu yang dominan, kata penganalisis


Noel Achariam

Sentimen pengundi dan pertembungan tiga penjuru pada PRN Melaka akan menjadi faktor penentu sama ada Umno atau Bersatu akan menang. – Gambar The Malaysian Insight, 26 Oktober, 2021.

PILIHAN raya negeri (PRN) Melaka akan menentukan parti Melayu yang lebih dominan, apabila Barisan Nasional (BN) pimpinan Umno menentang Perikatan Nasional (PN) yang dikuasai Bersatu-PAS pada 20 November, kata penganalisis.

Mereka berkata sentimen pengundi dan pertembungan tiga penjuru akan menjadi faktor penentu sama ada Umno atau Bersatu - pesaing tetapi rakan kongsi yang tidak begitu teguh di peringkat persekutuan - memenangi perang proksi ini.

Mereka menambah yang PRN ini juga akan menjadi peluang untuk menguji mood rakyat berikutan kebuntuan politik berpanjangan selepas pilihan raya umum lalu dan beberapa pembelotan berikutnya.

Profesor kajian Asia Universiti Tasmania Dr James Chin berkata tinjauan di Melaka akan menjadi medan ujian bagi pertembungan besar antara Umno dan Bersatu.

“(Presiden Bersatu) Muhyiddin Yassin mengumumkan PN akan bertanding di 28 kerusi.

“Beliau cuba menunjukkan PN masih kerajaan yang mengawal, walaupun semua orang faham kerajaan sekarang adalah kerajaan ‘Umno-plus’,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Chin berkata Bersatu dan Umno bertanding di PRN untuk membuktikan mereka lebih dominan.

“Sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU1), ada satu parti Melayu yang dominan (Umno). Namun kini terdapat dua (Bersatu dan Umno). Ini akan diselesaikan dalam PRU akan datang, tetapi sekarang Melaka akan dijadikan contoh situasi sebenar.”

Minggu lalu, Pengerusi PN Muhyiddin berkata pakatan itu akan bertanding di semua 28 kerusi pada pilihan raya Melaka bulan depan, membuka jalan kepada pertembungan tiga penjuru.

Beliau berkata ini kerana Umno berkata bergerak sendirian untuk PRN.

Chin berkata jika BN dan PN tidak dapat mencapai kata sepakat untuk bekerjasama di Melaka, maka akan berlaku pertembungan pelbagai penjuru, dan yang rugi besar ialah PAS, yang akan tersepit.

“Jadi, ia pada dasarnya adalah pertembungan antara Umno dan Bersatu. Jika Pakatan Harapan (PH) pandai mengambil kesempatan maka mereka mungkin boleh berjaya.

“Malangnya PH juga sedang berdepan kontroversi kerana DAP tidak bersetuju dengan empat bekas Adun yang berpaling tadah.”

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Ilham Center Hisommudin Bakar berkata senario di Melaka hampir sama seperti semasa pilihan raya lalu – cuma kali ini Bersatu berpakat dengan PAS dalam menghadapi Umno-BN dan PH.

“Jadi pertembungan tiga penjuru tertumpu kepada blok BN, PH dan PN.

“Parti kecil dan calon bebas hanya sekadar memeriahkan pilihan raya, tetapi sukar untuk menang.

“Perlawanan sebenar lebih tertumpu kepada tiga gabungan politik utama. Model ini sama seperti pertembungan dalam PRU lalu. Bezanya kali ini Bersatu bekerjasama dengan PAS dengan membentuk gabungan politik baharu.”

Beliau berkata pilihan raya itu akan menguji “mood” sebenar rakyat selepas krisis politik yang berpanjangan, sama ada di peringkat negeri atau kebangsaan.

“Eksperimen politik ini akan melihat sejauh mana pandangan rakyat dalam bentuk undi.

“Mereka sudah muak dengan perebutan kuasa di kalangan ahli politik dan lompat parti sehingga terpaksa keluar mengundi semula. Ini berlaku sebaik sahaja tiada lagi perintah kawalan pergerakn dan negara dalam fasa pemulihan.”

Tambahnya, keadaan ini akan banyak menjejaskan sentimen dan emosi pengundi semasa.

“Kebimbangan terhadap keselamatan dan kesihatan adalah paling penting. Ini dikhuatiri akan menjejaskan peratusan keluar mengundi dalam pilihan raya.”

Penganalisis berpendapat Umno mempunyai peluang lebih cerah menang PRU Melaka kerana mempunyai sokongan akar umbi yang kuat berbanding parti lain. – Gambar AFP, 26 Oktober, 2021.

Kelebihan Umno

Dr Tunku Mohar Tunku Mohd Mokhtar dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata Umno-BN mungkin mempunyai sedikit kelebihan dalam pertembungan tiga penjuru.

“Dalam pertembungan tiga penjuru, parti yang mempunyai akar umbi yang kuat mempunyai peluang lebih baik untuk menang.

“Bagaimanapun, pengundi akan berdepan pilihan yang sukar untuk mengundi calon daripada BN dan PN, kerana secara ideologi mereka adalah sama. Terdapat kemungkinan berlaku perpecahan undi antara keduanya.

“Andaian undi Umno akan kekal tetapi undi Bersatu mungkin pergi kepada Umno.”

Beliau berkata Bersatu akan kehilangan beberapa undi jika ia melawan Umno dan PH.

“Bank undi PH, jika ia tetap sama, mungkin tidak cukup untuk memenangi kerusi majoriti, dengan andaian sebahagian daripada sokongan mereka datang daripada penyokong Bersatu.”

Bagi kerusi majoriti tipis, Tunku Mohar berkata akan ada penjajaran semula memandangkan perubahan pakatan.

“Masih tidak jelas sejauh mana kekuatan akar umbi Bersatu, tetapi jika dibandingkan dengan Umno dan PH, ia mungkin yang paling lemah.

“Amanah mempunyai peluang tipis untuk kekal relevan kerana bekas ketua menteri itu mempunyai pengikut yang cukup kuat dalam kalangan pengundi PH, dan DAP mempunyai hubungan rapat dengannya.”

Beliau percaya di Melaka, dua parti yang paling kuat ialah Umno dan DAP.

“Bagaimanapun, hanya terdapat empat kerusi majoriti Cina dan satu kawasan campuran di Melaka.

“Oleh itu, tidak banyak kawasan boleh dimenangi DAP di negeri ini.”

Felo kanan Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, Dr Oh Ei Sun berkata pada ketika ini, PN masih berlagak dalam perbincangan pembahagian kerusi BN-PN dengan bercakap besar akan bertanding di semua kerusi.

Beliau berkata ini semata-mata untuk membalas BN yang kelihatan enggan memberikan mana-mana kerusi kepada PN.

“Mereka boleh sahaja mencapai penyelesaian pembahagian kerusi seperti di Sabah, yang menyaksikan gabungan Umno-Bersatu berjaya memenangi pilihan raya.

“PN mesti jelas tentang peluang tipisnya dalam pertembungan tiga penjuru. Malah, mereka dikira bertuah jika tidak hilang deposit.”

Beliau berkata dalam pertembungan tiga penjuru, Umno (tetapi bukan parti komponen BN lain) atau PH berkemungkinan muncul sebagai pemenang.

“PN pada dasarnya mengancam untuk menjadi perosak Umno, menjejaskan beberapa undi Umno terutamanya di kawasan majoriti tipis jika PN tidak mendapat laluan dalam peruntukkan beberapa kerusi untuk bertanding.”

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 8 November untuk penamaan calon, 16 November pengundian awal dan 20 November untuk mengundi.

Dewan Undangan Negeri Melaka dibubarkan pada 4 Oktober selepas empat Adun menarik balik sokongan mereka kepada Ketua Menteri Sulaiman Md Ali.

Mereka adalah Idris Haron (Sg Udang), Nor Azman Hassan (Pantai Kundor), Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu) and Noor Effandi Ahmad (Telok Mas). – 26 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen