Kenapa Najib masih bebas, soal Dr Mahathir


Alfian Z.M. Tahir

Dr Mahathir Mohamad hari ini mempersoalkan pemerintahan jenis apa yang diamalkan di negara ini apabila Najib Razak yang sudah disabit dan dijatuhkan hukuman masih boleh dapat layanan istimewa, dibenarkan ke luar negara malah berkempen untuk pilihan raya negeri Melaka. – Gambar fail The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 25 Oktober, 2021.

MEMBINGUNGKAN apabila Najib Razak bebas untuk bergerak ke mana-mana dalam negara dan mendapat layanan istimewa walaupun didapati bersalah melakukan rasuah, kata Dr Mahathir Mohamad hari ini.

“Kes ini adalah satu kes luar biasa. Najib ni nampak sihat. Boleh pergi ke Parlimen, boleh pergi ke sana sini berkempen, tetapi tidak sihat untuk dibicara dalam mahkamah. 

“Sekarang ini dia pula boleh dapat pasport balik pergi ke negara lain. Bukan sahaja itu, dah dapat pasport pula, boleh tangguh pula pasal dia nak berkempen. Ini saya tak tahu apa jenis pemerintahan ini,” kata Dr Mahathir dalam sidang media Pejuang yang disiarkan secara langsung di Facebook.

Minggu lepas, Mahkamah Rayuan membenarkan pasport Najib dikembalikan untuk sementara supaya beliau boleh ke ke Singapura untuk melawat anak perempuannya Nooryana Najwa yang sarat mengandung.

Bagaimanapun, Najib telah meminta permohonan mahkamah baharu untuk menangguhkan perjalanannya ke Singapura bagi membolehkan beliau memantau persiapan Umno untuk pilihan raya negeri Melaka.

Dr Mahathir turut mempersoalkan kenapa hukuman penjara terhadap Najib ditangguh sedangkan sudah disabitkan dan dijatuhkan hukuman oleh mahkamah. 

“Sepatutnya rayuan ini didengar pada bulan April, enam bulan lepas, sekarang sudah bulan Oktober, masih tak dengar rayuan lagi,” kata ahli Parlimen Langkawi.

Pada 28 Julai tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah mensabitkan bekas perdana menteri itu atas kesalahan pecah amanah, pengubahan wang haram dan penyalahgunaan kuasa, yang melibatkan wang berjumlah RM42 juta milik SRC, anak syarikat 1MDB.

Beliau dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.

Najib sedang merayu sabitan itu dan dalam masa sama beliau juga berhadapan tuduhan jenayah yang lain. – 25 Oktober, 2021.

MENYUSUL


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen