BEKAS perdana menteri Najib Razak akan ke Singapura untuk menziarahi anak perempuannya Nooryana Najwa yang dijangka akan bersalin selepas Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan pasportnya yang ditahan dikembalikan sementara.
Kebenaran itu diberikan Hakim Mahkamah Rayuan Kamaludin Md Said yang mempengerusikan panel tiga hakim selepas mendengar hujahan peguambela Najib, Muhammad Shafee Abdullah.
Menurut Shafee, Najib memohon untuk mengambil pasportnya pada Rabu (20 Oktober) untuk diperbaharui kerana sudah tamat tempoh.
Najib juga hanya akan terbang ke Singapura pada 3 November, selepas membahaskan Belanjawan 2022 di Dewan Rakyat sehari sebelum itu. Beliau dijadual pulang ke Malaysia pada 20 November, kata Shafee.
“Anak guam saya perlu dikuarantin di Singapura selama 10 hari dan hanya boleh bertemu anak perempuannya pada 14 November.
“Beliau dijadual pulang pada 20 November, bermakna beliau hanya meluangkan masa seminggu bersama anak perempuannya,” kata Shafee.
Timbalan pendakwa raya Mohd Fairuz Johari tidak membantah dan menyerahkan permohonan itu kepada budi bicara mahkamah.
Kamaludin yang bersidang bersama hakim-hakim P. Ravinthran and Abu Bakar Jais turut mengarahkan Najib mengembalikan pasportnya ke mahkamah pada 22 November.
Mahkamah juga bersetuju pasport itu dikembalikan oleh wakil Najib kerana bekas perdana menteri perlu juga menjalani kuarantin selepas pulang dari Singapura.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur minggu lalu membenarkan pasport isteri Najib, Rosmah Mansor dikembalikan sementara atas alasan yang sama.
Kebenaran itu terhad untuk ke Singapura dan tidak lebih untuk tempoh 30 hari.
Najib hadir di mahkamah hari ini mendengar keputusan permohonannya.
Ini adalah perjalanan ke luar negara pertama Najib sejak Barisan Nasional kalah pilihan raya umum pada Mei 2018.
Najib adalah antara sekumpulan individu yang disenarai hitam oleh pihak Imigresen pada masa itu, dan kemudian diperintah oleh mahkamah supaya menyerahkan dokumen perjalanannya.
Pada 28 Julai 2020, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan Najib bersalah atas tujuh tuduhan salah guna kuasa, pecah amanah, dan pengubahan wang haram melibatkan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd, bekas anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Beliau dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta, yang kini menunggu keputusan rayuan di Mahkamah Rayuan.
Perbicaraan dan peghujahan rayuan itu selesai pada 18 Mei 2021. – 18 Oktober, 2021.
Komen