Dr Mahathir tak jawab persoalan sebenar isu Pulau Batu Puteh, kata Khaled


Naib Presiden Umno Mohamed Khaled Nordin berkata meski keputusan ICJ tidak boleh dirayu tetapi semakan boleh dikemukakan apabila timbulnya bukti baharu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Oktober, 2021.

BEKAS perdana menteri Dr Mahathir Mohamad perlu menjelaskan mengapa kerajaan Pakatan Harapan (PH) pimpinannya tidak meneruskan permohonan semakan terhadap penghakiman Pulau Batu Puteh di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), kata Mohamed Khaled Nordin.

Naib presiden Umno itu berkata meski keputusan ICJ tidak boleh dirayu tetapi semakan boleh dikemukakan apabila timbulnya bukti baharu.

“Benar keputusan ICJ tidak boleh dirayu. Tetapi dengan timbulnya bukti terbaru, satu permohonan untuk semakan telah dikemukakan oleh Malaysia pada Februari 2017.

“Pada 30 Jun 2017, Malaysia juga mengemukakan permohonan untuk ICJ mentafsirkan penghakimannya pada 2008 tentang Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan. 

“ICJ telah bersetuju untuk mendengar penghujahan Malaysia dengan memberikan tarikh untuk pendengaran semakan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, kenyataan Dr Mahathir dua hari lalu tidak menjawab persoalan sebenar tentang Pulau Batu Puteh.

“Apakah Mahathir lupa bahawa dua daripada bukti baru yang ditemui itu adalah dokumen yang hanya boleh diakses setelah tahun 2008.” 

Secara undang-undang, dokumen tersebut hanya boleh diakses setelah tamat tempoh kerahsiaanya, kata Khaled.

Menjelas lanjut, beliau berkata dokumen pertama menunjukkan bahawa pegawai tertinggi Singapura tidak pernah menggangap Pulau Batu Puteh sebahagian dari Singapura.

Dokumen kedua menunjukkan bahawa Tentera Laut British memperakui bahawa perairan di kawasan ketiga-tiga pulau tersebut adalah perairan dan wilayah Johor.

Manakala dokumen ketiga menujukkan bahawa peta-peta operasi tentera laut British menunjukkan sempadan wilayah Singapura tidak termasuk Pulau Batu Puteh, jelasnya.

“Semua dokumen tersebut, dengan jelas menunjukkan bahawa Pulau Batu Puteh tidak berada dalam wilayah republik itu.

“Sudah sewajarnya penemuan bukti material ini memerlukan ICJ memutuskan nilainya terhadap tuntutan Malaysia.

“Jadi kenapa di sebalik semua bukti baru ini, kerajaan memutuskan untuk tidak meneruskan proses semakan tersebut?” soalnya.

Khaled selain itu berkata sekiranya Dr Mahathir mendapat nasihat dari sekumpulan pakar undang-undang antarabangsa, maka ahli Parlimen Langkawi itu perlu mendedahkan siapakah mereka dan apakah nasihat yang diberi.

Kerajaan PH juga katanya cuai dalam tindakannya mempertahankan kedaulatan wilayah Malaysia dan wajar dipertanggungjawabkan.

Dr Mahathir pada Rabu berkata kes tuntutan bertindih ke atas Pulau Batu Puteh sudah diselesaikan oleh ICJ, yang menyerahkan kedaulatannya kepada Singapura.

Keputusan itu adalah muktamad, manakala Malaysia dan Singapura sudah berjanji untuk menerima keputusan itu sebelum merujuk kes berkenaan ke ICJ, tambahnya.

“Negara yang bermaruah mesti hormati janji. Hanya negara yang tidak bermaruah yang akan mungkir janji.

“Muktamad adalah muktamad. Jika sebuah negara tidak hormati janji, tidak ada negara lain yang akan buat perjanjian dengan negara berkenaan. Ia menjadi negara pariah,” kata Dr Mahathir dalam satu catatan di blognya.

Pada 9 Mei 2003, Malaysia dan Singapura setuju untuk merujuk pertikaian berhubung kedaulatan Pulau Batu Puteh dan perairan sekitarnya iaitu Tubir Selatan dan Batuan Tengah ke ICJ.

Pada 23 Mei 2008, ICJ memutuskan Singapura mempunyai hak terhadap Pulau Batu Puteh. Mahkamah itu memutuskan Malaysia memiliki Batuan Tengah, hak milik Tubir Selatan akan ditentukan mengikut persempadanan perairan negara yang menguasainya.

Pada Julai 2017, Malaysia turut memfailkan permohonan berasingan yang meminta ICJ untuk menafsirkan penghakiman 2008 berhubung Pulau Batu Puteh.

Bagaimanapun, sebaik sahaja PH menang pada pilihan raya umum 2018, Dr Mahathir mengumumkan Malaysia akan menerima keputusan itu dan tidak akan meneruskan semakan.

Kerajaan Perikatan Nasional menubuhkan pasukan khas untuk melihat semula keputusan itu. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen