Tidak boleh banding Langkawi dengan Pulau Batu Puteh, kata Dr Mahathir


Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad berkata kes tuntutan bertindih ke atas Pulau Batu Puteh sudah diselesaikan oleh ICJ, yang menyerahkan kedaulatannya kepada Singapura. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Oktober, 2021.

PULAU Batu Puteh yang kini jadi milik Singapura tidak boleh dibandingkan dengan Pulau Langkawi, kata Dr Mahathir Mohamad.

Bekas perdana menteri menjawab titah Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang mahu tindakan diambil ke atas mereka yang bertanggungjawab menarik balik permohonan semakan dan pentafsiran kes Pulau Batu Puteh di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Permohonan itu difailkan semasa pentadbiran Najib Razak pada Februari 2017 tetapi ditarik balik pada Jun 2018, semasa Dr Mahathir jadi perdana menteri menerajui kerajaan Pakatan Harapan.

“Tidak wajar kita banding Langkawi dengan Pulau Batu Puteh.

“Langkawi adalah pulau yang diiktiraf sebagai pulau milik Malaysia sedangkan Pulau Batu Puteh ialah beting atau dengan izin sandbank yang dituntut oleh dua negara,” katanya, dalam satu tulisan di blog Chedet, hari ini.

Sultan Ibrahim minggu lalu bertanya adakah kedaulatan Johor tidak penting sehingga pentadbiran Dr Mahathir memutuskan tidak meneruskan semakan kes Pulau Batu Puteh di ICJ.

Menurut Dr Mahathir, kes tuntutan bertindih ke atas Pulau Batu Puteh sudah diselesaikan oleh ICJ, yang menyerahkan kedaulatannya kepada Singapura.

Keputusan itu adalah muktamad, manakala Malaysia dan Singapura sudah berjanji untuk menerima keputusan itu sebelum merujuk kes berkenaan ke ICJ, tambahnya.

“Negara yang bermaruah mesti hormati janji. Hanya negara yang tidak bermaruah yang akan mungkir janji.

“Muktamad adalah muktamad. Jika sebuah negara tidak hormati janji, tidak ada negara lain yang akan buat perjanjian dengan negara berkenaan. Ia menjadi negara pariah,” kata Dr Mahathir. 

Mesyuarat Kabinet pada 8 Oktober setuju untuk menubuhkan sebuah pasukan petugas khas untuk menyemak undang-undang berkenaan isu Pulau Batu Puteh.

Kabinet juga akan mendapatkan pandangan undang-undang mengenai kemungkinan wujudnya elemen salah laku berkaitan penarikan balik permohonan semakan di ICJ oleh kerajaan PH, umum Perdana Menteri Ismail Sabri.

Jual tanah tambak negara lain

Dalam pada itu, Dr Mahathir menyinggung pihak yang tidak dinamakan yang katanya menjual tanah kepada negara lain, merujuk pada Singapura.

“Jika tanah yang dijual adalah untuk menambak dan membesar negara lain, dia tidak berbeza dengan menjual bahagian-bahagian tertentu negara kepada negara lain.

“Hari ini kita jual air dan tanah berlori-lori dan berkapal-kapal ke negara lain guna untuk membesar negara mereka.

“Atau kita jual laut untuk ditambak dan dimiliki serta diduduki oleh orang lain, keadaannya tidak berbeza dari menjual bahagian-bahagian negara kepada negara asing,” katanya.

Tindakan itu juga menyebabkan negara hilang, kata Dr Mahathir.

“Tanah dan air yang kita jual ke Singapura untuk membesar pulau itu menjadi kawasan milik penduduk Singapura, dibangun di bawah kuasa Kerajaan Singapura.

“Itulah sebabnya Kerajaan Malaysia melarang penjualan tanah kita dan mempertikai jualan air kepada negara asing,” katanya. – 20 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen