Adakah kedaulatan Johor tidak penting pada Pakatan, soal Sultan Johor  


Raevathi Supramaniam

Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar mempersoalkan tindakan bekas perdana menteri Dr Mahathir Moahamd untuk tidak meneruskan semakan kes tuntutan Pulau Batu Puteh di Mahkamah Keadilan Antarabangsa.– Gambar EPA, 14 Oktober, 2021.

ADAKAH kedaulatan negeri Johor tidak penting sehingga kerajaan Pakatan Harapan membuat keputusan untuk tidak meneruskan semakan kes Pulau Batu Puteh di Mahkamah Keadilan Antarabangsa, soal Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini. 

Baginda turut mempersoalkan keputusan yang dibuat oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad ketika itu dan sama ada berlaku kekhilafan untuk beliau menarik balik semakan kes berkenaan. 

“Tindakan sedemikian seolah-olah mengalah sebelum masuk gelanggang. Kenapa keputusan untuk tidak meneruskan permohonan itu diambil sedangkan kita telah menemui bukti baharu yang berpihak kepada kita? Ini yang menyebabkan saya cukup terkilan.

“Mengapa soal kedaulatan Johor seolah-olah tidak penting kepada kerajaan pada waktu itu? Adakah kita negeri anak tiri? Kalau tak suka Johor… Cuba kalau Malaysia kehilangan Pulau Langkawi kepada Thailand, bagaimana rasa orang Kedah agaknya?

“Ambil tindakan setegas-tegasnya jika benar berlaku kekhilafan. Ini adalah soal kedaulatan kita,” titah baginda di Facebook.

Sultan Johor bertitah baginda terkilan dengan kerajaan kerana tidak meneruskan semakan berkenaan terutamanya selepas menemui bukti baharu yang berpihak kepada Malaysia. 

“Ini yang menyebabkan saya cukup terkilan.”

Minggu lalu, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob menubuhkan satu jawatankuasa yang diketuai bekas peguam negara Mohamed Apandi Ali untuk melihat isu Pulau Batu Puteh. 

Bercakap kepada The Malaysian Insight selepas pelantikannya, Apandi berkata Malaysia masih boleh memohon dengan Mahkamah Keadilan Antarabangsa untuk menyemak semula keputusannya pada 2008 berhubung kedaulatan Pulau Batu Puteh yang dituntut oleh Malaysia dan Singapura.

Apandi yang mengajukan semakan terhadap keputusan ICJ pada 2017 berkata Malaysia masih mempunyai alasan yang kukuh untuk membuat semakan dan pentafsiran semula keputusan berkenaan.

Beliau berkata jawatankuasa itu juga akan mengkaji “kecuaian” pihak bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Pada 9 Mei 2003, Malaysia dan Singapura bersetuju merujuk pertikaian berhubung kedaulatan Pulau Batu Puteh dan dua maritim berdekatan, Batuan Tengah dan Tubir Selatan kepada ICJ.

Pada 2008, ICJ memberikan kedaulatan Pulau Batu Puteh kepada Singapura. Mahkamah memutuskan Batuan Tengah adalah milik Malaysia sementara Tubir Selatan menjadi milik negara di mana perairan mana pulau itu terletak.

Pada Julai 2017, Malaysia juga mengemukakan permohonan semakan dan penafsiran terhadap ICJ berkenaan isu pertikaian kedaulatan Pulau Batu Puteh antara Malaysia dan Singapura.

Tetapi tidak lama selepas Pakatan Harapan memenangi pilihan raya umum pada 2018, Dr Mahathir mengumumkan Malaysia akan menerima keputusan ICJ dan tidak akan mengemukakan semakan dan penafsiran keputusan pada 2008. – 14 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen