AirAsia dinobat syarikat penerbangan tambang rendah terkemuka Asia 2021


AirAsia turut dianugerahkan Kru Kabin Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terkemuka Asia untuk tahun keenam di World Travel Awards 2021 edisi ke-28. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Oktober, 2021.

AIRASIA dinobatkan sebagai Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terkemuka Asia untuk tahun kelima berturut-turut dan dianugerahkan Kru Kabin Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terkemuka Asia untuk tahun keenam di World Travel Awards 2021 edisi ke-28.

Menurut AirAsia dalam kenyataan hari ini, syarikat mengungguli kategori utama selepas menerima undian tertinggi daripada pengguna dan pemain industri profesional di rantau ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation Bo Lingam berkata: “Ini adalah pencapaian yang luar biasa dan kami tujukan anugerah ini kepada Allstars yang bekerja keras walaupun dilanda krisis semasa dan terus mengutamakan para tetamu.

“Kini kami dapat melihat keadaan semakin pulih dan kami tidak sabar untuk kembali terbang tinggi di semua pasaran utama dengan standard keselamatan dan kepatuhan tertinggi sempena pembukaan sekatan perjalanan secara beransur-ansur.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada World Travel Awards serta lebih 600 juta tetamu yang telah terbang bersama kami dan rakan industri atas sokongan dan pengiktirafan mereka.”

Anugerah ini menyusuli beberapa pengiktirafan yang telah diterima oleh syarikat penerbangan tersebut baru-baru ini termasuk Anugerah Inovasi Perniagaan di Anugerah Syarikat Penerbangan Dunia 2021 daripada pakar penerbangan di Flightglobal dan anugerah Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Dunia oleh Skytrax untuk tahun ke-12 berturut-turut. – Bernama, 21 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen