Derita ibu tunggal 9 anak bukti hukuman mati sudah lapuk, kata kumpulan


Malaysia Menentang Hukuman Mati dan Penyeksaan (Madpet) berkata tidak seperti pembunuhan, kesalahan mengedar dadah tidak secara langsung meragut nyawa, malah, kesalahan seperti kleptokrasi dan rasuah lebih serius. – Gambar EPA, 20 Oktober, 2021.

NASIB seorang ibu tunggal yang akan meninggalkan sembilan anak selepas dijatuhi hukuman mati mandatori kerana memiliki dan mengedar menunjukkan pentingnya hukuman itu diganti dengan hukuman lain mengikut budi bicara mahkamah, kata kumpulan antihukuman mati.

Kumpulan Malaysia Menentang Hukuman Mati dan Penyeksaan (Madpet) berkata hukuman mati dan juga penjara seumur hidup kerana kesalahan dadah perlu dihapuskan.

Sebaliknya Parlimen perlu menetapkan hukuman maksimum, dan menyerahkan kepada hakim bagi menentukan hukuman yang tepat bergantung kepada fakta dan keadaan setiap kes.

Jurucakap Madpet, Charles Hector berkata demikian selepas Hairun Jalmani, 55, ibu tunggal kepada sembilan anak yang dijatuhi hukuman mati mandatori di Mahkamah Tinggi Tawau pada Jumaat kerana didapati bersalah memiliki dan mengedar dadah tiga tahun lalu.

“Tidak seperti pembunuhan, kesalahan mengedar dadah tidak secara langsung meragut nyawa. Tentunya, kesalahan seperti kleptokrasi dan rasuah, di mana pelaku mencuri dari rakyat Malaysia hakikatnya kesalahan yang lebih serius.

“Pemilikan dan pengedaran dadah tidak diragukan lagi merupakan suatu kesalahan yang perlu dihukum, tetapi sewajarnya, tidakkah seharusnya dasar hukuman Malaysia lebih menekankan pada pemulihan supaya dapat kembali ke dalam masyarakat dan juga beri peluang kedua?

“Amalan hukuman yang lebih ringan untuk pesalah kali pertama dan hukuman yang lebih tinggi untuk pesalah berulang perlu dipertimbangkan,” kata Hector dalam satu kenyataan hari ini.

Memetik pindaan Akta Dadah Berbahaya 1952 yang diluluskan pada Mac 2018, Hector berkata ada hukuman alternatif terhadap kes pengedaran dadah.

Namun, ada syarat-syarat tertentu perlu dipenuhi sebelum hukuman ganti dapat diberikan.

“...antaranya, dalam syarat yang tidak adil itu adalah ‘... orang yang disabitkan kesalahan telah menolong sebuah agensi penguatkuasaan dalam menumpaskan aktiviti pengedaran dadah di dalam atau di luar Malaysia.’

“Bukan sahaja syarat ini tidak masuk akal, tetapi juga melanggar hak seseorang untuk mendapatkan perbicaraan yang adil. Ia cenderung memaksa orang yang tidak bersalah memperlekehkan rayuannya untuk mengelak hukuman mati.

“Hairun Jalmani, ibu tunggal yang mungkin tidak benar-benar bersalah kerana mengedar dadah, tentu tidak akan dapat menolong sesiapa untuk menumpaskan aktiviti pengedaran dadah. Jadi, dia akan dihukum mati,” katanya.

Hairun didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan statistik terbaru, Madpet berkata hukuman mati terbukti tidak berkesan sebagai pencegah kesalahan dadah di negara ini.

Merujuk kepada kenyataan baru-baru ini oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Razarudin Husain, Madpet berkata terdapat peningkatan 80 peratus dadah yang disita polis dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini, berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

“Ini adalah bukti jelas hukuman mati tidak mencegah perdagangan dadah,” kata kumpulan itu.

Oleh itu Madpet menyeru mansuhkan takrifan undang-undang pengedaran dadah hanya berdasarkan apa yang didapati oleh polis sebagai milik tertuduh.

Adalah tanggungjawab pihak pendakwa untuk buktikan perdagangan dadah berlaku, kata Madpet. – 20 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen