Ucapan Tengku Razaleigh: Bentuk pemerintahan beretika lagi tulus


TUAN-TUAN dan puan-puan para hadirin sekelian; izinkan saya mengucapkan terima kasih kepada kumpulan G25 kerana sudi mengundang saya untuk menyampaikan ucaptama di forum mereka. Saya amat berbesar hati di atas jemputan ini kerana inilah kali ke -dua saya menjadi tetamu mereka. Saya menerima undangan daripada kumpulan warga Malaysia terkenal ini dengan segala rendah diri.

Jemputan ini memberi peluang untuk saya berkongsi pandangan mengenai perkembangan semasa yang amat menggusari rakyat jelata. Saya dimaklumkan mereka menganggap – sama ada betul atau tidak – kepimpinan negara seolah-olah menanggung beban skandal kewangan amat berat yang melibatkan wang negara.

Ramai di antara mereka beranggapan bahawa penglibatan pemimpin-pemimpim dalam perkembangan tersebut telah menjejas nama baik negara yang dihormati dunia.

Setiap kali saya bersama rakyat biasa, mereka pasti merungut mengenai beban kewangan tanggungan mereka yang semakin berat. Di samping itu, mereka juga merengek mengenai kenaikan berterusan harga barangan dapur dan keperluan lainnya.

Ramai di antara mereka menyalahkan para pemimpin di atas keadaan ini. Mereka mengadu kepada saya bahawa ada pemimpin menghabiskan masa tanpa faedah untuk cuba menyembunyi masalah berkaitan isu kewangan tersebut. Mengikut mereka tiada perhatian serius ditumpukan kepada usaha mengatasi masalah kehidupan mereka seperti kenaikan mendadak kos sara hidup.

Maka itu dapatlah kita simpulkan bahawa kepimpinan politik kita haruslah lebih peka dan teliti terhadap kebahagian rakyat jelata. Ia harus diukur mengikut keselesaan tertentu hidup seharian. Ini bermakna pemerintah seharusnya menyediakan keselesaan tertentu, yang kini diterima dunia sebagai asas terhadap kehidupan moden, sebagai ganjaran terhadap sokongan mereka memilih pihak pemerintah membentuk kerajaan.

Tahap keselesaan ini dapat memastikan rakyat tidak dibebani tekanan kewangan bukan-bukan yang sukar ditangani dan diurus oleh negara. Sedihnya apa yang nyata ialah kepimpinan kita telah gagal membendung hutang negara. Sehingga

September 2017 hutang negara berjumlah RM687.43 bilion berbanding RM91 bilion pada 1997, iaitu kenaikan tujuh kali ganda setengah. Barang diingat bahawa berhutang untuk maksud membayar faedah ke atas hutang semasa tidak memanfaatkan rakyat.

Sebaliknya, berhutang demi pertumbuhan ekonomi boleh dianggap wajar. Maka itu pelaburan kerajaan yang akan datang mestilah dilulus sebagai salah satu perkara di dalam Belanjawan Tahunan setelah Resolusi mengenainya mendapat kelulusan Dewan Rakyat terlebih dahulu.

Begitu juga halnya dengan pelaburan oleh sesebuah badan berkanun atau agensi kerajaan. Ia semestinya melalui proses yang sama demi memastikan badan-badan tersebut bertanggungjawab ke atas setiap sen yang dilabur atau dibelanja selepas Parlimen melulusnya.

Hutang negara tidak terkawal pasti akan meninggal kesan buruk kepada rakyat. Umpamanya ia mungkin menyebabkan tiada kenaikan pendapatan. Di samping itu ia juga boleh menyebabkan terusirnya pelaburan sedia ada ke negara lain oleh kerana kemungkinan timbulnya persepsi bahawa peluang pelaburan di sini terbantut.

Di sebaliknya hutang isi rumah kita yang kini tertinggi di Asia semakin meningkat. Ada juga pihak yang berpendapat perkara ini berlaku kerana terdapat pihak tertentu di kalangan politik yang sentiasa mendesak kerajaan supaya membantu perniagaan dilanda kerugian.

Apa pun, rakyat jelata terutamanya anak-anak muda sebenarnya gelisah terhadap kegawatan ekonomi negara. Pengangguran di kalangan siswazah amat merisaukan dan ketara sekali di kalangan mereka yang tidak berkemahiran.

Di sebaliknya, kita terlalu bergantung kepada tenaga kerja kasar asing untuk mengelak diri daripada menghadapi keadaan sebenar mengenai kos tenaga kerja. Keadaan ini akan menyebabkan pendapatan pekerja kita tidak beranjak dan terus berada di bawah paras pendapatan pekerja dunia maju. Ini boleh menyebabkan kita akan terkandas di tahap pendapatan pertengahan buat jangka masa yang lama.

Saya kira sudah tiba masanya saya menzahirkan pandangan saya mengenai ciri-ciri kepimpinan baik. Pada hemat saya pemimpin yang baik sewajarnya merupakan seorang yang beretika dan berketulusannya tinggi, di samping bersifat jujur dan ikhlas.

Kepimpinan yang baik hendaklah memberi penekanan terhadap apa jua khidmat yang diberi kepada rakyat adalah dilakukan untuk kebaikan mereka semata-mata, tanpa apa-apa niat tersirat. Sayugia diingatkan mutu sifat kepimpinan ini seharusnya berada di paras hampir mutlak.

Yang demikian, pandangan seperti “tetapi pemimpin kami lebih bersih daripada sesetengah pemimpin negara lain” tidak boleh diterima. Yang harus diterima ialah “pemimpin kami bersih”. Itu sahaja.

Demi mengukuhkan kepercayaan terhadap mutu kepimpinan setiap pemimpin di sektor awam dan swasta, termasuk penama dan pemegang amanah mereka, mereka semestinya menjalani penelitian awam secara terbuka.

Tiada sesiapa pun terkecuali daripada penelitian dan pemeriksaan awam ini. Ia seharusya dilaksanakan oleh Parlimen melalui sebuah suruhanjaya tetap yang dianggotai pelbagai parti dan hanya bertanggungjawab kepada Parlimen. Pemeriksaan ini hendaklah meliputi jangkamasa September 1957 sehingga kini.

Suruhanjaya ini perlu diberi kuasa meluas untuk menyiasat dan merampas apa jua aset dan harta diperolehi secara haram, termasuklah harta yang telah dipindah hakmiliknya sebelum siasatan tersebut dilakukan. Setiap orang yang pernah diberi kuasa eksekutif dikehendaki menjalani pemeriksaan ini. Saya sendiri secara sukarela sanggup dan akan membenarkan diri diperiksa.

Di dalam sesebuah negara demokrasi berperlembagaan terdapat dua unsur yang menentukan hak untuk memerintah. Pertamanya ialah pemilikan “hak fizikal”. Maksudnya begini, sesebuah parti politik hendaklah memenangi pilihanraya secara adil dan saksama untuk membolehnya memerintah sesebuah negara.

Sekiranya pilihanraya tersebut berdasarkan kemenangan mengikut undi terbanyak di setiap kawasan, ada kemungkinan sesebuah parti politik memenangi kerusi parlimen terbanyak tetapi hanya mengumpul jumlah undi keseluruhan yang kurang daripada 50 peratus. Keadaan begini menunjukkan parti itu tiada “hak moral” untuk memerintah. Kepada saya “hak moral” adalah unsur kedua berkaitan dengan hak kepimpinan.

Pada hakikatnya di negara-negara berdemokrasi kurang matang “hak moral” untuk memerintah sering diketepikan atau dipandang remeh. Pun begitu, yang pastinya ialah amalan beretika berlandaskan ketulusan, kejujuran dan keikhlasan merupakan penentu “hak moral”.

Seseorang pemimpin bermoral kukuh pastinya mempunyai tampuk pemerintahan kuat yang disokong moral kukuh yang saya sebutkan itu.

Di sebaliknya jikalau tampuk ini terhakis, hak untuk terus memerintah akan mula menjadi lemah. Di zaman media sosial ini keadaan yang saya gariskan tersebut pasti tersebar ke seluruh pelusuk dalam sekelip mata. Barang diingat rakyat jelata menganggap mereka berhak dipimpin oleh pemimpin bermoral tinggi. Sesungguhnya tanggapan mereka tepat sekali.

Dalam politik terdapat sekurang-kurangnya dua unsur amalan demokrasi berperlembagaan yang dianggap suci dan tidak boleh diperlekeh. Pertama, sesebuah perlembagaan yang diterima secara demokratik tidak boleh dipinda sewenang-wenang dan sesuka hati.

Berbuat sedemikian merupakan suatu cemuhan oleh kerana perlembagaan adalah dokumen murni. Ia sering dianggap nadi negara dan kedudukannya adalah lebih tinggi daripada Ahli-Ahli Parlimen yang mengangkat sumpah untuk mempertahankan keluhuran perlembagaan dan kemurnian tersebut pertama kali mereka menghadiri sidang parlimen.

Sekiranya pindaan dianggap perlu, ia hendaklah dibuat hanya untuk kebaikan rakyat, umpamanya bagi maksud mempertingkatan mutu kehidupan mereka. Meminda perlembagaan untuk menambah dan memperkuatkan kuasa seseorang ketua kerajaan adalah penyalahgunaan kuasa.

Malaysia adalah sebuah negara demokrasi berperlembagaan yang menjunjung keluhuran perlembagaan. Maka amatlah penting kita memastikan apa jua pindaan yang dibuat tidak mengganggu-gugat keadaan itu.

Kita semestinya menerima dan memperakui keluhuran tersebut dan mematuhinya. Betapa pentingnya keadaan ini dapat kita lihat daripada penerimaan “Keluhuran Perlembagaan” sebagai sebahagian daripada Rukunegara.

Seperti yang saya katakan sebentar tadi, ahli-ahli parlimen kita terikat dengan sumpah mereka untuk menegakkan keluhuran ini ketika menghadiri diri di Dewan yang mulia itu buat pertama kalinya. Oleh itu, apa jua yang mereka lakukan mestilah mengambil kira sumpah ini.

Secara lojiknya, begitulah juga keadaannya berkaitan dengan mereka yang memegang jawatan di kedua-dua lagi badan kerajaan. Mereka semestinya terikat dengan sumpah jawatan dan menjalankan tugas mengikut landasan undang- undang dan peraturan; bahkan ketua negara sendiri tertakluk kepada sumpah ini yang baginda lafaz ketika ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Unsur kedua yang menjadi tonggak demokrasi berperlembagaan ialah pengasingan kuasa di antara ketiga-tiga badan kerajaan – iaitu, badan-badan Eksekutif, Perundangan dan Kehakiman – semestinya tidak dikacau.

Mungkin ada yang mengatakan kita semua tahu akan hakikat ini. Tetapi kita semestinya sentiasa mengambil ingatan mengenai perkara ini kerana pengasingan kuasa negara kita pernah dicemari pada suatu ketika dahulu. Oleh kerana itu salah sebuah daripada badan tersebut masih seringkali merasai kesannya.

Mungkin kita memerlukan undang-undang khas bagi mentakrif dan menentukan pengasingan kuasa. Ia juga harus mengandungi peruntukan hukuman keras terhadap mereka yang melanggar doktrin ini.

Begitu juga kita perlu menggubal undang-undang bagi menidakkan ataupun melarang penggunaan kuasa budi bicara secara berseorangan oleh kerana penggunaan begini boleh menyebabkan ia disalahgunakan. Keputusan atau tindakan eksekutif berlandaskan kuasa budi bicara hendaklah dibuat secara bersama dengan sekurang-kurangnya dua orang rakan kerja lain yang sebaya.

Pemimpin berperangai Machiavelli tidak akan teragak untuk menghentikan pengasingan tersebut. Lazimnya pemimpin politik seperti ini terikut-ikut dengan apa yang ditulis George Orwell dalam novel sindirannya, Animal Farm; iaitu “All animals are equal, but some animals are more equal than others”.

Ini oleh kerana pemimpin begini hendak mengukuhkan lagi kuasanya untuk menakut-nakutkan ahli-ahli lain dalam badan-badan kerajaan kerana mementingkan diri sendiri.

Tuan-tuan dan puan-puan para hadirin sekelian, memandangkan saya ini pengamal politik, maka itu ucapan ini disampaikan dari sudut politik. Saya juga sedar bahawa pilihanraya umum ke 14 hampir tiba. Itulah sebabnya media sosial banyak memperkatakan tentang PRU14 dan liputan yang diberi kadangkala berbau kepartian.

Terdapat banyak penghujahan beria-ia mengenai kerajaan semasa. Tidak kurang pula perbincangan tentang kumpulan yang tidur sebantal dengan mimpi berlainan yang bercita-cita menghapuskan rasuah, kronisme, nepotisme serta kleptokrasi sekiranya mereka diberi peluang membentuk kerajaan.

Tidak ramai yang sanggup membuat telahan mengenai keputusan pilihanraya umum ini. Mereka yang rapat dengan tampuk kuasa semasa yakin keputusannya akan menyebelahi mereka. Di sebaliknya, pihak yang mengidamkan Putrajaya amat mengharapkan kemenangan dan kejayaan pada kali ini, memandangkan jurumudinya berpengalaman luas!

Ketika berbicara dengan kawan dan rakan taulan, saya mendapati ada yang tidak menafi kemungkinan berlakunya hung parliament di mana Dewan terbahagi dua dengan bilangan kerusi yang sama. Ini bermakna pengundi tidak mahu memilih kerajaan semasa untuk terus memerintah.

Tetapi mereka juga tidak mahu memindahkan kuasa kepada kumpulan campuran yang menawarkan pilihan alternatif. Ini juga mencerminkan kehendak pengundi yang mahu kerajaan padu dan tidak berbelah bagi serta terdiri daripada kesemua pihak berkepentingan politik. Sebenarnya mereka mahukan kerajaan perpaduan nasional.

Sekiranya ini berlaku, semua parti politik harus bersama demi membolehkan badan Eksekutif dipimpin oleh seorang ahli politik yang diterima oleh kedua-dua pihak Dewan Rakyat. Memandangkan tenatnya kedudukan ekonomi nasional semasa, ahli Parlimen yang dipilih hendaklah mempunyai rekod cemerlang.

Barang diingat bahawa menyogok Ahli Parlimen supaya berpaling tadah merupakan cemuhan terhadap pengundi. Sekiranya mereka mahu sesebuah parti tertentu membentuk kerajaan sudah tentu mereka mengundi parti tersebut dengan sekurang-kurangnya majoriti mudah.

Saya kira sudah tiba masanya kita bertanya ke manakah kita mahu pemimpin membawa kita. Jawapanya sudah pun diterap oleh Perdana Menteri pertama kita. Kita seharusnya mengikut langkah timbalan setia Almarhum yang telah berjaya membimbing negara tercinta ini ke persada dunia.

Kini terdapat sebuah dua negara jiran yang sedang bersedia untuk memintas kita, terutamanya di bidang ekonomi dan pendidikan. Seperti yang kita maklum, kini menjadi suatu kenyataan bahawa beberapa aspek ekonomi kita dipacu oleh kuasa yang bukan di bawah kawalan kita.

Hakikatnya ialah kebanyakan projek ekonomi besar-besaran dilaksanakan oleh syarikat asing. Keadaan ini merunsingkan kerana ia memungkin negara kita dijajah dengan cara menggunakan selok-belok ekonomi. Sekira apa yang saya katakan ini berlaku, sudah tentu ia akan membinasakan apa kita capai sejak merdeka.

Kita memerlukan tenaga manusia bersesuaian untuk pulang ke pangkal jalan. Malangnya, sistem pendidikan kita berada dalam keadaan tenat dan tidak mampu memenuhi permintaan tersebut. Pada hemat saya, sistem pendidikan ini telah dijadikan mainan politik dan anak cucu kita akan tanggung padahnya. Sudah tiba masanya sistem tersebut menjalani pembaharuan.

Serentak dengan itu, kita harus teliti dengan serius akan pemacu perkembangan ekonomi dan sosial di hari muka. Ini penting kerana berbuat demikian bermakna kita sebenarnya memberi perhatian kepada keperluan generasi Millennial yang rata-rata membanjiri bidang-bidang teknologi komunikasi, media dan digital.

Demi memenuhi keperluan mereka, para pemimpin perlu memberi tekanan sewajarnya terhadap pembangunan Artificial Intelligence. Ini akan menjamin mereka tidak ketinggalan dan tercicir di dunia pasca digital.

Saya mengajukan demikian kerana pada hakikatnya kadangkala kita tidak memberi tekanan sepatutnya terhadap teknologi moden yang berperanan penting untuk meningkatkan tahap keberkesanan dan pengeluaran. Dengan kata lain, perhatian kepada Artificial Intelligence akan memaksimumkan penggunaannya. Ini pasti akan menguntungkan negara kita dan generasi akan datang.

Alhamdullillah, saya sendiri telah mewakili Gua Musang begitu lama dan dengan perasaan yang amat memuaskan. Saya amat bertuah kerana dapat berkhidmat kepada para pengundi kawasan Gua Musang selama 45 tahun yang lalu.

Saya amat terhutang budi kepada mereka kerana mereka memberi sokongan dengan penuh taat setia lagi padu tanpa berbelah bagi selama 45 tahun tersebut. Tidak syak lagi inilah yang memerangsangkan saya untuk menghambakan diri kepada negara tercinta ini. Ia juga merupakan sumber kekuatan kepada saya untuk memberi khidmat sebaik mungkin.

Tidak mungkin saya dapat menjalani tugas sebagai wakil rakyat dengan lancar dan berkesan tanpa sokongan padu mereka yang diberi tanpa syarat itu.

Keluarga besar Gua Musang ini merupakan sumber ilham yang tiada tolok banding kepada saya. Maka itu dengan segala rendah hati saya menzahirkan penghargaan dan terima kasih dari hati kecil saya di atas sokongan padu dan kesetiaan mutlak mereka. Sesungguhnya penduduk Gua Musanglah yang memberi dorongan kepada saya dalam menjalankan tugas.

Tuan-tuan dan puan-puan, para hadirin sekelian, maka dengan ini saya isytiharkan forum ini bermula dengan harapan ia berjaya sepenuhnya. Wassalam dan salam hormat. – 27 Januari, 2018.

*Tengku Razaleigh Hamzah ialah ahli Parlimen Gua Musang. Teks ucapan ini disampaikan ketika majlis forum awam anjuran G25 yang diadakan di IDCC Shah Alam pada 27 Januari 2018.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen