PARTI Pejuang Tanah Air (Pejuang) mahu kerajaan mengawal penjualan beberapa barangan di platform e-dagang bagi membantu dan melindungi usahawan kecil dan sederhana tempatan bangkit semula daripada kesan ekonomi akibat Covid-19.
Urus niaga di platform e-dagang juga mengakibatkan pengaliran keluar wang negara yang besar, yang sepatutnya dibelanjakan untuk membeli barangan tempatan, kata Ketua Biro Ekonomi Pejuang Armin Baniaz Pahamin.
“Purata pembelian atas talian setiap pengguna e-dagang berjumlah AS$383 setahun dan dijangka akan meningkat menjadi AS$530 setahun menjelang 2025.
“Jika sektor-sektor tempatan tidak dibendung dari awal, kami khuatir bukan sahaja usahawan tempatan tetapi ekonomi Malaysia juga terjejas dengan jumlah import melebihi jumlah eksport,” katanya dalam satu kenyataan.
Armin memberi contoh sekatan yang dibuat oleh Indonesia yang menghadkan jualan 13 kategori barangan melalui Lazada dan Shopee sejak Mei 2021. Antara barangan itu termasuk produk fesyen dan tekstil, makanan dan minuman, serta kraftangan.

Beliau juga menyebut pada masa ini urus niaga e-dagang Malaysia bernilai AS$5 bilion setahun dan dijangka mencecah AS$9.6 bilion pada 2025. Daripada jumlah itu, hampir RM6 bilion nanti melibatkan barangan fesyen serta elektrik dan media.
“Trend pembelian atas talian rakyat Malaysia tertumpu kepada fesyen, kecantikan, elektronik, makanan dan penjagaan diri dan lebih dari 52% pembelian atas talian dibelanjakan ke atas produk-produk luar negara melalui platform Lazada dan Shopee,” katanya.
Armin mencadangkan agar kerajaan menyekat barangan import bawah kategori fesyen seperti pakaian muslim dan muslimah, peralatan solat, batik dan kebaya di semua platform e-dagang.
Pada masa sama, beliau juga mencadangkan agar kerajaan meneliti perusahaan tempatan yang boleh dilindungi dalam tempoh pemulihan ekonomi selepas penularan Covid-19 sekarang. – 19 Oktober, 2021.
Komen