Platform dalam talian selamatkan peniaga pasar tradisi


Mohd Farhan Darwis

Peniaga berkata mereka berdepan ketidaktentuan apabila PKP dilaksanakan tahun lalu susulan penularan Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Februari, 2021.

PLATFORM jual beli atas talian menjadi penyelamat kepada perniagaan yang bertapak di bazar bersejarah Pekan Rabu, salah satu identiti penting bandar Alor Setar di Kedah.

Para peniaga ini memberitahu The Malaysian Insight, perusahaan mereka berhadapan ketidaktentuan apabila Perintah Kawalan Pergerakan dilaksana tahun lalu susulan penularan Covid-19.

Pengusaha di pasar yang menjadi ikon bagi produk industri kecil dan sederhana (IKS) itu yang amat bergantung kepada pelancongan terjejas teruk apabila perjalanan rentas negeri tidak dibenarkan.

Namun segala-galanya berubah apabila mereka membuka jualan di platform dalam talian, kata salah seorang pengusaha, Mohd Hafiz Mohd Supri.

Sejak itu, anak muda berusia 27 tahun itu tidak menang tangan menguruskan perniagaan menjual makanan ringan tradisi yang diwarisi daripada keluarganya itu.

“Kalau dulu bila kita beli barang, kotak kita buang sebab tidak lagi digunakan.

“Tapi sekarang kita pula kena beli kotak sebab nak digunakan untuk buat pos barang pelanggan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Tambahnya, hasil jualan daripada platform atas talian itu juga membolehkan perniagaan kudapan tradisionalnya mampu bertahan, walaupun banyak sektor ekonomi mengalami kelembapan.

Hafiz yang mula menguruskan perniagaan keluarganya itu sejak dua tahun lalu berkata beliau melihat kutipan hasil jualan atas talian itu malah menyamai jualan secara fizikal di premisnya.

Jelasnya, beliau biasanya dapat merekodkan hasil jualan paling tinggi sewaktu musim cuti sekolah dan perayaan, namun keeadaan sama berlaku sepanjang tempoh PKP.

“Waktu PKP jualan online tinggi, jualan di kedai kurang.

“Tapi kalau dah buka (PKP tamat) macam sebelum ini, hasil jualan online kurang banyak. (Jualan di) kedai tinggi semula. Tapi apabila PKP (jualan online) naik semula,” katanya.

Malah disebabkan bilangan tempahan yang tinggi, kedai atas talian yang diwujudkan di aplikasi Shopee itu terpaksa ditutup selama seminggu ketika sambutan Aidilfitri tahun lalu, katanya.

Katanya, ini kerana kedainya tidak mampu menampung tempahan mendadak daripada pelanggan sewaktu tempoh perayaan itu.

Jelasnya, tempahan itu meningkat kerana dalam tempoh perayaan tersebut, perjalanan rentas negeri tidak dibenarkan dan perjalanan pulang ke kampung masih tidak dibenarkan.

Hasil jualan atas talian membolehkan perniagaan kudapan tradisional mampu bertahan, walaupun banyak sektor ekonomi mengalami kelembapan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Februari, 2021.

“Dalam sehari kami terima sampai 300 hingga 400 pesanan hingga tak mampu tampung. Satu bungkus kertas A4 sehari habis digunakan untuk cetak tempahan pelanggan.

“Empat hari sebelum raya kedai online kami dah tutup,” katanya, yang menguruskan Pekan Rabu Online 1 di Shopee.

Namun begitu, kehadiran secara atas talian turut menyumbang risiko kepada Hafiz, apabila terdapat pihak tidak bertanggungjawab menjual barangan dengan mengguna gambar dari akaun kedainya.

Gambarberkenaan kemudiannya digunakan untuk menjual produk yang tidak berkualiti sekaligus memburukkan imej perniagaannya, kata Hafiz.

“Banyak juga pihak ambil gambar daripada produk kita, ciplak gambar. Mereka ambil letak di kedai online mereka, produk bukan mereka punya.

“Produk tak tahu ambil mana kemudian pelanggan merungut kata rasa tak sama. Ada yang bukan daripada Pekan Rabu pun bubuh gambar kita, jadi rosak nama kita jadinya.

“Kualiti barang kami jaga, pelanggan juga ada yang berulangkali beli. Kita berniaga nak lama, takkan nak jual barang tak elok,” kata Hafiz.

Statistik dari Shopee Malaysia menunjukkan tabiat membeli belah secara e-dagang dilihat menjadi lebih penting dalam kehidupan seharian pengguna hari ini.

Data mereka tahun lalu menunjukkan pengguna aplikasi itu meluangkan masa melebihi 20% di platform itu setiap minggu, sekali gus mencerminkan peningkatan kebergantungan terhadap e-dagang.

Seorang lagi peniaga Pekan Rabu, Zaini Altahari, 52, turut mengakui platform atas talian membantu perniagaannya bertahan sepanjang melalui tempoh PKP.

“Masa PKP peniagaan tak boleh pergi. Pembeli yang kebanyakan nak beli kuih adalah pelancong saja, orang tempatan kurang sikit,” katanya.

Zaini menguruskan kedai Pekan Rabu Online di platform atas talian Shoppee sejak pertengahan 2020 bersama abangnya dan menjual pelbagai jenis produk termasuk kudapan tradisional.

“Saya tidak simpan barang. Produk yang kami jual adalah dari bangunan Pekan Rabu saja. Kami promosikan produk dengan masukkan dalam Shopee dan Lazada.

“Saya bahagian jualan dan promosi manakala abang saya bahagian pembungkusan, bila ada tempahan saya serahkan kepada dia butiran tempahan dan sebagainya,” kata Zaini.

Beliau memberitahu The Malaysian Insight usaha itu digerakkannya sendiri tanpa melibatkan pihak pengurusan Pekan Rabu.

Namun begitu, pihaknya menegaskan kualiti produk dan kepuasan pembeli tetap menjadi keutamaan mereka.

Semakan The Malaysian Insight mendapati peniaga dari pasar tradisi seperti Pasar Payang, Terengganu, dan Pasar Siti Khadijah, Kelantan juga menggunakan platform dalam talian..

Makanan tradisional seperti serunding daging, keropok ikan, banyak dijual di kedai atas talian tersebut, dan tidak ketinggalan peralatan perhiasan.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, dan Hal Ehwal Pengguna (KPDHEP) mendedahkan aktiviti jual beli dalam talian mencatatkan peningkatan sebanyak 28.9% pada April tahun lalu, ketika negara mula menguatkuasakan PKP pada Mac.

Sepanjang tempoh PKP juga, lebih 30,000 syarikat menutup operasi mereka, berdasarkan statistik Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Daripada jumlah itu, 9,875 menutup operasi dalam tempoh PKP yang bermula 18 Mac sehingga 9 Jun 2020.

Manakala 22,794 syarikat dan perniagaan menutup operasi bagi tempoh PKP antara 10 Jun sehingga September 2020. – 23 Februari, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen