KEWAJARAN Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) melantik platform e-dagang Shopee untuk memungut zakat kini dipersoal NGO Islam.
Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Aswaja) menuntut penjelasan mengenai pelantikan itu kerana bayaran itu amanah kebajikan Islam dan bukan satu bentuk perbankan dan perniagaan.
Laporan Malaysiakini menyebut presiden Aswaja Zamihan Mat Zin turut mempersoal kelayakan portal e-dagang itu kerana menurutnya ulama sepakat bahawa amil mestilah terdiri dari orang Islam.
“Jadi, siapa pula yang memiliki Shopee itu atau yang menguruskannya zakat bagi pihak Shopee? Muslim atau musyrik?
“Apa definisi dan peranan sebenar Shopee itu di sebalik proses memungut zakat ini? Amil? Ejen majazi (metafora), orang tengah, pemudah cara, pelayan e-dagang atau hantu zakat?” katanya.
Bekas pegawai Kementerian Dalam Negeri dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia itu juga menegaskan, zakat amanah kebajikan Islam dan bukan muamalah maliah atau urusan perbankan.
“Jadi ia tidak boleh disamakan dengan dengan urusan jual beli, pajak gadai, sewa, pinjaman, pelaburan atau instrumen kewangan semasa.
“Qiyas maal fariq (analogi yang salah) kerana ia tiada persamaan dari segi illah (alasan),” katanya seperti dipetik dalam laporan itu.
Zamihan juga menuntut pihak berkuasa agama tersebut menjelaskan kadar upah yang diterima Shopeem sama ada ia menguntungkan mana-mana pihak atau sebagai jihad.
Ketelusan pentadbiran kewangan itu juga perlu dijelaskan, termasuk alasan untuk mengguna orang tengah untuk bayaran zakat, katanya.
“Kadar upah yang diperolehi Shopee itu atas asnaf amil atau pelayan maya menguntungkan siapa? Atau khidmat Shopee percuma saja kerana Allah SWT?
“Tentu ada caj perkhidmatan dikenakan. Apakah ia diambil dari wang belanja mengurus majlis agama atau dari wang zakat juga?”
Beliau mengulas pengumuman Pusat Pungutan Zakat MAIWP (PPZ-MAIWP) yang membolehkan zakat dibayar dan dikutip melalui platform Shopee bermula 18 Disember.
Menurut PPZ-MAIWP, ia meliputi bayaran zakat pendapatan, perniagaan, wang simpanan, saham dan zakat emas dan perak serta zakat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Bayaran melalui platform tersebut melibatkan dompet elektronik ShopeePay, kad debit, perbankan dalam talian dan pembayaran secara tunai di kaunter 7-Eleven.
Makluman di laman web PPZ-MAIWP menyebut, selain Shopee, badan itu juga menerima bayaran melalui e-wallet Boost dan Gopayz.
Ia juga menerima bayaran dari portal MYEG, JomPay, Pos Malaysia dan Pay Halal.
Selain itu, PPZ-MAIWP mengutip bayaran dari rumah ke rumah, perbankan internet dan portal dalam talian.
Laman web PPZ-MAIWP juga menyenarain 14 ejen percukaian, sembilan firma audit dan enam dari kategori ejen lain-lain sebagai ejen pengutip zakatnya.
Badan itu juga menerima bayaran melalui kaunter bank dan perbankan internet melibatkan 15 bank.
Selain PPZ-MAIWP, Majlis Agama Islam Perak (MAIPk) juga memperkenal kutipan zakat melalui platform Shopee bermula Jumaat lalu. – 24 Disember, 2020.
Komen