Buku khas tangani tafsiran menyimpang Rahmatan lil alamin


SM Amin

Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Syed Hussien Alhabshee berkata buku berkenaan akan menyampaikan idea sebenar dan jelas mengenai konsep yang diperkenalkan kerajaan Pakatan Harapan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 18 September, 2019.

SALAH faham dan tafsiran menyimpang ke atas konsep Rahmatan Lil Alamin akan ditangani dalam buku khas dalam pelbagai bahasa, kata Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Pengerusinya Syed Hussien Alhabshee berkata buku berkenaan akan menyampaikan idea sebenar dan jelas mengenai konsep yang diperkenalkan kerajaan Pakatan Harapan.

“(Usaha ini) sesuai dengan kehadiran pelbagai latar belakang budaya dan bahasa dalam masyarakat kita, malah di persada antarabangsa juga.

“Oleh yang demikian, usaha perlu digerakkan untuk memahamkan semua pihak tentang makna dan ciri sebenar konsep ini,” katanya dalam satu ucapan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Buku yang dilancarkannya itu mengandungi 21 bab itu yang dikarang ahli akademik dari pelbagai universiti awam.

Ia antara lain membahaskan isu kehidupan masyarakat majmuk, ekstreimsme dalam agama, falsafah pendidikan, institusi wakaf dan dialog antara agama.

Menurut Syed Hussien, buku terjemahan ke bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris tersebut dijangka dapat disiapkan menjelang suku pertama tahun hadapan.

“Apabila siap nanti kita akan edar buku-buku ini di universiti-universiti, pejabat-pejabat kerajaan, pejabat-pejabat agama dan juga turut akan dikembangkan ke luar negara seperti China.

“Konsep ini juga kita bawa ke luar negara di mana (Menteri di Jabatan Perdana Menteri) Mujahid Yusof Rawa akan memberikan ceramah umum di Universiti Cambridge, UK November ini,” ujarnya. – 18 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen