Kertas siasatan barang kes SPRM hilang tidak lengkap, kata Jabatan Peguam Negara


SPRM menyerahkan kertas kepada siasatan peguam negara pada 28 September, yang dilaporkan ada kaitan dengan bekas ketua pengarah Pertubuhan Perisikan Luar Malaysia Hasanah Abd Hamid tiga tahun lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Oktober, 2021.

JABATAN Peguam Negara memulangkan kertas siasatan kes kehilangan wang hampir AS$7 juta barang kes agensi antirasuah untuk dilengkapkan sekali lagi oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Jabatan Peguam Negara mendapati wujud kesalahan-kesalahan lain yang memerlukan siasatan lanjut dilakukan oleh agensi penguatkuasaan yang berkaitan.

“Kertas siasatan telah dikembalikan untuk tindakan lanjut,” kata jabatan itu dalam satu kenyataan, hari ini.

SPRM menyerahkan kertas siasatan itu kepada Jabatan Peguam Negara pada 28 September, yang dilaporkan ada kaitan dengan barang kes melibatkan wang rampasan daripada bekas ketua pengarah Pertubuhan Perisikan Luar Malaysia Hasanah Abd Hamid tiga tahun lalu.

Pada April 2021, Hasanah dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas pihak pendakwa menarik balik pertuduhan terhadapnya. 

Pada pertengahan September, SPRM menahan tiga pegawainya untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 23(a) Akta SPRM 2009 kerana disyaki menyalah guna kuasa melupuskan barang kes serta undang-undang pengubahan wang haram.

Mereka ditahan reman enam hari antara 14 hingga 19 September.

SPRM juga dilapor menyita sejumlah aset bernilai RM1.6 juta melibatkan sebuah rumah di Selangor, dua motosikal jenis Ducati serta dua buah kereta jenis Mercedes Benz dan Honda Type R.

Pada masa sama, SPRM juga menyiasat kemungkinan ada kes serupa melibatkan bahan bukti kes lain yang dikendalikan oleh agensi antirasuah, kata sumber kepada The Malaysian Insight.

Siasatan SPRM bagaimanapun dikritik pelbagai pihak yang mempersoalkan ketelusan agensi itu. Mereka mendesak agar kes melibatkan SPRM disiasat oleh pihak polis.

Pemimpin Pakatan Harapan turut mendesak Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki direhatkan sementara siasatan kes melibatkan tiga pegawainya. – 12 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen