Putrajaya longgar syarat buat peserta MM2H sedia ada, kata Hamzah


Peserta sedia ada hanya perlu mematuhi kenaikan fi dari RM90 menjadi RM500 dan syarat menetap di negara ini sekurang-kurangnya 90 hari dalam setahun. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Oktober, 2021.

PEMEGANG pas Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) sedia ada cuma perlu mematuhi dua daripada 10 syarat baharu yang dikenakan oleh kerajaan, kata Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin.

Peserta sedia ada hanya perlu mematuhi kenaikan fi dari RM90 menjadi RM500 dan syarat menetap di negara ini sekurang-kurangnya 90 hari dalam setahun, katanya.

“Penambahbaikan adalah bagi memastikan hanya mereka yang berkualiti tinggi dan yang benar-benar dapat menyumbang kepada ekonomi negara dibenarkan untuk mengikuti program ini,” katanya menjawab soalan dibangkitkan ahli Parlimen ketika sesi penggulungan Rancangan Malaysia ke-12 di Dewan Rakyat hari ini.

Program MM2H ditangguhkan sementara menunggu kajian pada 2019, namun diaktifkan semula bulan ini.

Di bawah syarat baharu, pemohon MM2H perlu mempunyai minimum RM1 juta dalam akaun simpanan tetap Malaysia, selain kenaikan dari RM150,000 untuk pemohon berusia atas 50 tahun dan RM300,000 untuk mereka yang berumur 50 tahun ke bawah.

Pemohon juga perlu mempunyai pendapatan luar pesisir sekurang-kurangnya RM40,000 sebulan, berbanding RM10,000 sebelum ini.

Dari 2002 hingga 2018, program MM2H menjana RM40.6 bilion kepada negara.

Kumpulan ekspatriat membantah syarat baharu ini, dengan berkata tidak mungkin peserta dan calon pemohon, yang kebanyakannya pesara yang tidak lagi mempunyai pekerjaan atau aset yang dicairkan dapat menampung kehidupan mereka di sini.

Pada 30 Ogos, Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menggesa kerajaan mengkaji semula syarat bagi program MM2H.

Baginda bertitah syarat baharu yang dikenakan dikhuathiri boleh menjejaskan kemasukan peserta baharu, serta pemegang pas MM2H yang sedia ada sekarang.

Titah baginda, ia juga akan memberi kesan kepada pendapatan negara.

“Penetapan syarat baharu seharusnya lebih baik, bagi mendorong kemasukan pelancong serta pelabur untuk kembali meningkatkan ekonomi negara. Jika ia (syarat baharu) terlalu ketat, kemungkinan boleh memberi kesan kepada pendapatan negara, serta memberi tekanan kepada peserta baharu dan sedia ada,” titah Sultan Ibrahim. – 5 Oktober, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen