Sultan Johor mahu Putrajaya kaji semula syarat MM2H  


Syarat baharu yang ketat mampu menjejaskan permohonan baharu warga asing untuk menjadikan Malaysia sebagai tempat tinggal mereka selepas bersara.– Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Ogos, 2021.

SULTAN Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini menggesa kerajaan untuk mengkaji semula syarat bagi program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H).

Baginda bertitah syarat baharu yang dikenakan dikhuathiri boleh menjejaskan kemasukan peserta baharu, serta pemegang pas MM2H yang sedia ada sekarang.

Titah baginda, ia juga akan memberi kesan kepada pendapatan negara.

“Penetapan syarat baharu seharusnya lebih baik, bagi mendorong kemasukan pelancong serta pelabur untuk kembali meningkatkan ekonomi negara. Jika ia (syarat baharu) terlalu ketat, kemungkinan boleh memberi kesan kepada pendapatan negara, serta memberi tekanan kepada peserta baharu dan sedia ada.

“Ini juga amat mengecewakan kita di Johor dimana kita mempunyai hubungan sejarah yang lama dengan Singapura serta rakyatnya, syarat baharu ini kemungkinan akan menyebabkan mereka untuk tidak melabur di Johor,” titah Sultan Ibrahim dalam satu kenyataan hari ini.

MM2H dilancarkan pada 2002 untuk menarik modal asing, memppromosikan pelancongan dan membangunkan ekonomi negara dengan menggalakkan warga asing untuk tinggal di Malaysia dalam jangka masa panjang dengan prosedur lebih mudah dan banyak kelebihan seperti tempoh visa 10 tahun.

Ia akan diaktifkan pada Oktrober selepas digantung untuk semakan semula sejak 2019.

Pada 11 Ogos lalu, Kementerian Dalam Negeri mengumumkan beberapa perubahan pada syaratnya.

Di bawah syarat baharu ini ditetapkan, pendapatan luar negara peserta MM2H adalah sekurang-kurangnya RM40,000 sebulan berbanding RM10,000 sebelum ini dan mempunyai sekurang-kurangnya RM1 juta dalam akaun simpanan tetap mereka.

Sultan Ibrahim bertitah, kerajaan juga perlu mempertimbangkan untuk mengembalikan kriteria yang ditetapkan sebelum ini yang berkesan dalam mempromosikan Malaysia sebagai antara destinasi persaraan antarabangsa.

Baginda bertitah bahawa semakan semujla itu “sangat negatif” dan tidak masuk akal untuk mengenakan syarat baharu ini kepada pemegang pas MM2H sedia ada.

“Peraturan-peraturan baharu ini akan menyebabkan lebih banyak pemegang pas MM2H keluar dari negara ini. Bagaimana kita hendak mempromosikan Malaysia sebagai antara destinasi pelaburan?” titah baginda.

Sultan Ibrahim bertitah Putrajaya harus lebih belas kasihan dan berlembut kepada orang asing yang berminat untuk menetap di sini dan menjadikan Malaysia sebagai rumah persaraan mereka.

“Jika kita kerap mengubah peraturan, ini boleh menyebabkan ketidakyakinan dalam kalangan peserta, dan ini juga bukan masanya untuk menaikan kadar fi. Pengubahan syarat secara drastik akan menjejaskan imej negara,” titah baginda.

Setakat ini sebanyak 57,478 permohonan termasuk tanggungan, telah diluluskan.

Antara tahun 2002 dan 2019, program ini menjana pendapatan kasar sebanyak RM11.89 bilion. – 30 Ogos, 2021.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen