ORANG-orang sekeliling Howard Leee menganggapnya gila apabila memutuskan untuk meninggalkan United Kingdom, di mana lokasi beliau menghabiskan usia remajanya sehingga berjaya dalam perniagaan restoran sebelum akhirnya pulang dengan harapan menjadi ahli politik.
Walaupun dianggap gila oleh orang lain, namun bagi Lee itu adalah seruan untuk berkhidmat untuk negaranya.
“Saya mempunyai rumah dan perniagaan di UK dan saya menjual kesemuanya serta kembali ke Malaysia,” kata pemuda berusia 38 tahun itu kepada The Malaysian Insight.
“Ibu bapa saya berkeras menentang saya berpolitik. Walaupun dua minggu menjelang Pilihanraya Umum Ke-13 pada 2013, mereka menentang idea itu,” katanya.
Pada usia 12 tahun, Lee dihantar ke UK untuk menjalani persekolahan menengah di sana. Beliau dihantar ke sebuah bandar di pantai timur England yang disebut Great Yarmouth dan menamatkan pendidikan menengah dan kolej komuniti di sana.
Semasa di sekolah, Lee bekerja sepenuh masa di dapur, mempelajari pelbagai kemahiran sebelum menjadi tukang masak.
Walaupun dia berpeluang memasuki universiti, Lee bagaimanapun memutuskan untuk berkecimpung dalam dunia korporat.
Kemudian pada 2008, Lee kembali ke Malaysia untuk mendapatkan pasportnya dan juga melawat ayahnya yang sakit pada ketika itu. Kepulangannya kebetulan pada ketika pilihan raya umum 2008 diadakan.
“Ketika itulah saya terlibat dengan kempen yang menjadikan Pakatan Rakyat membentuk kerajaan negeri.
“Pada 2009, saya kembali ke UK untuk menjalani kehidupan seperti biasa, tetapi ia tidak normal selepas itu,” katanya.
Sekembalinya ke UK, Lee mendapat tahu kerajaan Perak pimpinan Pakatan Rakyat sudah runtuh selepas pembelotan tiga Adun.
“Saya membaca artikel di portal berita dan menangis. Saya perlu kembali. Yang menguatkan keputusan itu apabila ayah saya jatuh sakit,” katanya.
Jadi pada tahun 2010, beliau berkemas dan pulang ke rumah, dengan kerugian peribadinya selain terpaksa bercerai dengan isterinya.
“Boleh dikatakan sebab utama penceraian adalah kerana saya tinggalkan UK, tetapi sekarang saya sudah berkahwin semula dengan seseorang yang juga terlibat aktif dalam politik,” katanya.
Walaupun kerjaya utamanya adalah sebagai tukang masak, Lee berkata kemahiran yang diperlukan untuk menjadi tukang masak dan ahli politik saling berkaitan.
“Tukang masak dan ahli politik cukup serasi. Tukang masak adalah orang yang mencari kesempurnaan dan sama ada mereka berjaya atau tidak bergantung kepada orang lain yang merasai makanan mereka.
“Sama dengan politik. Sama ada anda kiri, kanan atau tengah, ia bergantung kepada orang ramai. Anda boleh menjadi ahli politik yang paling sempurna dan orang mungkin masih tidak menyukai anda.
“Atau anda boleh menjadi yang paling korup dan masih akan ada orang yang menyayangi anda,” katanya.
Kali pertama beliau berkempen adalah pada 2013 ketika bertanding di kawasan Parlimen Pasir Pinji di Perak. Lee memenangi kerusi itu dan mengekalkannya sejak itu.
Pada tahun 2015, beliau dipilih sebagai ahli jawatankuasa Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) dan ketua DAPSY Perak.
Pada 2018, Lee dilantik sebagai ketua DAPSY kebangsaan. Baru-baru ini dia dilantik sebagai ketua Pemuda Pakatan Harapan berikutan kematian penyandangnya Shazni Munir akibat Covid-19.
“Cabarannya sekarang adalah melakukan pekerjaan yang sama (seperti arwah Shazni) tetapi melakukannya dengan cara yang berbeza. Saya hanya berharap dapat memainkan peranan ini seperti Shazni,” katanya.
Tumpuannya sekarang adalah mengembalikan keyakinan rakyat dari segi demokrasi.
“Orang ramai marah dan pada masa sama lapar dan tidak mempunyai pekerjaan. Mereka tidak peduli siapa yang akan menjadi kerajaan seterusnya. Mereka hanya mahu mengisi perut mereka.
“Ancaman yang lebih besar adalah orang hilang kepercayaan terhadap demokrasi. Sekiranya rakyat hilang kepercayaan terhadap kekuatan rakyat, apa yang akan berlaku?.
“Objektif utama sekarang adalah mengembalikan keyakinan atau mendapatkan kembali kepercayaan diri yang hilang,” katanya. – 3 Oktober, 2021.
Komen