Warisan, Pejuang kekal bebas tanpa sertai Pakatan, kata ketua Pemuda


Raevathi Supramaniam

Warisan dan Pejuang mahu mengekalkan identiti serta dasar masing-masing tetapi kekal menyokong Pakatan hingga hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 September, 2021.

WARISAN dan Pejuang enggan menyertai gabungan pembangkang Pakatan Harapan (PH) kerana kedua-dua parti itu mahu kekal bebas, kata Ketua Pemuda PH Howard Lee.

Kedua-dua parti itu juga mahu mengekalkan identiti serta dasar masing-masing, tambahnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pasir Pinji bagaimanapun berkata, Warisan dan Pejuang kekal menyokong PH hingga hari ini.

“Kedudukan mereka jelas dan mahukan kebebasan, tetapi tidak bermakna kami tidak boleh berkawan,” katanya, kepada The Malaysian Insight.

Ketua Pemuda DAP itu berkata, amat penting untuk semua parti pembangkang mengekalkan hubungan baik, lebih-lebih lagi bagi menghadapi pilihan raya umum.

“Kami membentuk kerajaan di Sabah, ketika itu kedudukannya jelas, Warisan mahukan kebebasan. Itu tidak pernah disembunyikan dan bukan isu,” kata Lee.

Walaupun tidak bersama PH, Warisan dan Pejuang kekal menyokong Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri selepas Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan bulan lepas.

Ketua Pemuda PH Howard Lee berkata penting untuk semua parti pembangkang mengekalkan hubungan baik, lebih-lebih lagi bagi menghadapi pilihan raya umum. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 30 September, 2021.

Walaupun Anwar memperolehi 105 sokongan daripada blok pembangkang, Ahli Parlimen Bera Ismail Sabri Yaakob dilantik sebagai perdana menteri yang baharu kerana mendapat 114 sokongan majoriti ahli Parlimen.

Lee berkata pembangkang juga harus mengelak daripada bertanding sesama sendiri dalam Pilihan Raya Umum ke-15 akan datang.

“Kita harus mencari persetujuan, paling tidak pun kita tidak bertanding sesama sendiri dan menentang musuh yang sama untuk mendapat hasil terbaik,” kata Lee.

Untuk itu rundingan kerusi mampu membolehkan objektif itu tercapai, tambahnya.

PH bulan lalu berkata gabungan itu mengambil pendirian terbuka untuk berunding dan bekerjasama dengan pembangkang sebagai konsep “khemah besar”. – 30 September, 2021.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen