TIMBALAN Presiden Amanah Salahuddin Ayub dilantik pengarah strategi Pakatan Harapan, dalam usaha gabungan itu menyusun jentera parti menuju pilihan raya umum akan datang, umum Majlis Presiden PH.
Tiga ketua parti dalam PH juga mengumumkan pelantikan ketua Pemuda DAP Howard Lee Chuan How sebagai ketua Pemuda Pakatan Harapan yang baharu.
Adun Pasir Pinji itu menggantikan Shazni Munir Mohd Ithnin, yang juga ketua Pemuda Amanah, yang meninggal dunia akibat Covid-19 pada 6 Ogos.
“Majlis Presiden mengucapkan tahniah dan selamat menjalankan tugas kepada semua yang telah dilantik.
“Semoga pelantikan ini akan mengukuhkan lagi gerak kerja Pakatan Harapan di Parlimen, di lapangan, serta menuju Pilihan Raya Umum ke-15,” kata kenyataan mereka.
Kenyataan dikeluarkan oleh Presiden PKR Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, selepas mesyuarat Majlis Presiden PH hari ini.

Pelantikan mereka diumumkan Majlis Presiden PH serentak dengan pelantikan beberapa jawatan utama lain parti.
Ketua Wanita Amanah Aiman Athirah yang juga senator dilantik ketua Wanita PH, sementara Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution diumumkan sebagai ketua setiausaha parti.
Setiausaha Organisasi DAP Kebangsaan Anthony Loke diberi tugas penyelaras ketua whip ahli Parlimen PH.
Pengarah komunikasi PKR Fahmi Fadzil turut menjalankan tugas pengarah komunikasi PH. – 12 September, 2021.
Komen