Penjagaan kesihatan negara kurang dana, kata persatuan


Ragananthini Vethasalam

Pandemik Covid-19 mendedahkan banyak jurang dalam sistem rawatan kesihatan negara yang perlu diatasi dengan pelaburan jangka pendek dan panjang dalam sumber daya manusia serta infrastruktur penjagaan kesihatan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Oktober, 2021.

PERSATUAN kesihatan berharap agar sektor penjagaan kesihatan yang kekurangan dana akan mendapat dana yang sangat diperlukan dalam Belanjawan 2022.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Dr Koh Kar Chai berkata perbelanjaan penjagaan kesihatan mestilah sekurang-kurangnya 5% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk mencapai Liputan Kesihatan Sejagat menjelang 2030.

“Sejak 2006, anggaran kesihatan negara di bawah 4% daripada KDNK kita. Pada masa ini, anggaran penjagaan kesihatan adalah antara 3.9 hingga 4.1% daripada KDNK.

“Hampir 50% daripada sektor swasta. Kerajaan hanya membelanjakan sekitar 2.2% daripada KDNK. Oleh itu, kita jauh di bawah anggaran kesihatan yang disarankan untuk sistem perawatan kesihatan yang kuat,” kata Koh kepada The Malaysian Insight.

Beliau berkata susulan kemajuan teknologi perubatan, populasi yang semakin tua, beban penyakit dan permintaan kesihatan yang meningkat, kos penjagaan kesihatan di Malaysia cenderung melebihi kadar inflasi negara.

Menurut “Laporan Kesihatan Negara: Laporan Perbelanjaan Kesihatan 1997-2019”, jumlah perbelanjaan kesihatan nominal yang merangkumi sektor awam dan swasta pada 2006 adalah RM22.08 bilion atau 3.7% daripada KDNK.

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz baru-baru ini berkata perbelanjaan penjagaan kesihatan pada 2020 adalah sekitar RM63.8 bilion atau pada kadar 4.7% daripada KDNK. 

Beliau berkata ini mungkin meningkat kepada 5% atau lebih daripada 70% pada 2021.

Koh berharap peruntukan kesihatan 2022 akan mencerminkan komitmen Kementerian Kesihatan untuk melaksanakan reformasi yang sangat diperlukan bagi sistem penjagaan kesihatan.

“Pandemik ini mendedahkan banyak jurang dalam sistem rawatan kesihatan kita yang perlu diatasi dengan pelaburan jangka pendek dan panjang dalam sumber daya manusia serta infrastruktur penjagaan kesihatan,” katanya.

“Petugas penjagaan kesihatan dan sistem terbeban dengan situasi yang tidak kita pernah bayangkan sejak dua tahun kebelakangan ini kerana tenaga dan sumber daya yang tidak mencukupi. 

“Kami berharap dapat melihat peruntukan sesuai untuk mengatasi masalah kesihatan awam ini,” tambahnya.

Koh berkata kerajaan juga perlu memperuntukkan dana bagi pendigitalisasi penjagaan kesihatan dengan penggunaan kecerdasan buatan, Internet dan teknologi lain untuk meningkatkan kecekapan.

“Selama bertahun-tahun, rakyat Malaysia menikmati perkhidmatan kesihatan dengan bayaran RM1 bagi setiap lawatan di kemudahan kesihatan awam. Walaupun kebanyakan harga barang lain naik sepanjang tempoh ini, bayaran penjagaan kesihatan untuk kesihatan awam tetap tidak berubah.

“Pendapatan daripada bayaran hospital di sektor awam belum disemak sejak 1982. Jumlah ini kurang 3% daripada perbelanjaan penjagaan kesihatan. Walaupun ini mungkin bukan peningkatan pendapatan yang besar, ia tetap akan menyumbang kepada pendapatan,” katanya. – 1 Oktober, 2021.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen