Seri Perdana dibaik pulih untuk pelihara, cegah kerosakan, kata Muhyiddin


Bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin berkata keputusan mengubahsuai Seri Perdana dibuat bagi memelihara bangunan itu sebagai lambang institusi Ketua Kerajaan. – Gambar Pejabat Perdana Menteri, 30 September, 2021.

KEPUTUSAN untuk mengubahsuai Seri Perdana dibuat bagi memelihara bangunan itu sebagai lambang institusi Ketua Kerajaan dan mencegah kerosakan pada struktur tersebut, kata Muhyiddin Yassin.

Bekas perdana menteri itu berkata, jika tidak segera dibaiki, bangunan warisan kerajaan itu akan mengalami lebih banyak kerosakan dan kos pembaikan akan meningkat.

“Untuk rekod, saya tidak pernah menduduki Seri Perdana sepanjang saya berkhidmat sebagai Perdana Menteri,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.

Muhyiddin berkata, bagi memastikan pengubahsusaian dilakukan sesuai dengan spesifikasi yang ditetapkan, kerja baik pulih itu dipantau dipantau rapat oleh sebuah Pasukan Petugas yang dianggotai oleh pegawai-pegawai Jabatan Kerjaraya dan Jabatan Perdana Menteri.

“Saya percaya Jabatan Kerjaraya dan Jabatan Perdana Menteri yang terlibat secara langsung dalam urusan membaik pulih Seri Perdana mempunyai maklumat yang terperinci berhubung pelaksanaan projek ini.

“Selaras dengan prinsip ketelusan dan integriti yang diamalkan oleh Kerajaan, jabatan yang berkenaan boleh tampil untuk memberikan penjelasan kepada orang ramai berkenaan perkara ini,” katanya. 

Terdahulu hari ini Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata Putrajaya perlu dedahkan secara terperinci tentang wang RM38.5 juta yang digunakan untuk ubah suai kediaman rasmi perdana menteri.

Lim berkata kerajaan perlu telus untuk menjelaskan kepada rakyat ke mana perginya wang pembayar cukai ketika negara berhadapan krisis kesihatan global dan kemelesetan ekonomi.

Isu ini juga dibangkitkan oleh bekas perdana menteri Najib Razak yang awal hari ini berkata keputusan Muhyiddin meluluskan RM38.5 juta untuk ubah suai kediaman rasmi perdana menteri di Putrajaya menunjukkan beliau tidak pentingkan rakyat.

Najib mempersoalkan peruntukan naik taraf Seri Perdana sedangkan kerajaan mendakwa sudah kurang wang untuk membantu rakyat.

Projek menaik taraf kediaman rasmi perdana menteri diluluskan ketika Muhyiddin mendakwa wang kerajaan persekutuan sudah berkurangan, kata Najib.

Muhyiddin berkata ukuran saiz Seri Perdana yang berkeluasan lebih 56,000 kaki persegi juga menyebabkan kos baik pulih bangunan milik kerajaan ini agak tinggi.

Beliau berkata Jabatan Perdana Menteri juga mengesyorkan agar perolehan perabot dibuat memandangkan kebanyakan aset perabot di Seri Perdana yang didakwa milik peribadi mantan Perdana Menteri Keenam telah dipindah keluar.

Muhyiddin berkata kerosakan juga melibatkan kebocoran, sistem pencahayaan yang telah lama serta keadaan fizikal lantai dan bumbung yang telah rosak atau usang.

“Kebocoran bumbung Seri Perdana dan sistem perpaipan telah menyebabkan kerosakan perabot built-in, lantai kayu, panel dinding dan siling bangunan.

“Selain itu, saya juga dimaklumkan bahawa pendawaian elektrik, pencahayaan dan peralatan mekanikal seperti penghawa dingin juga perlu dibaik pulih kerana telah terlalu usang. 

“Menurut pandangan pakar, sistem pendawaian bangunan Seri Perdana yang berusia lebih 20 tahun boleh mendatangkan risiko kebakaran jika tidak dibaik pulih segera,” katanya.

Muhyiddin juga berkata bahawa bangunan itu mengalami kerosakan fizikal yang teruk di samping sistem pendawaian dan mekanikal yang usang.

“Sebahagian besar daripada kos membaik pulih Seri Perdana adalah melibatkan kerja-kerja binaan, pendawaian elektrik dan mekanikal,” katanya. – 30 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen