PUTRAJAYA perlu dedahkan secara terperinci tentang wang RM38.5 juta yang digunakan untuk ubah suai kediaman rasmi perdana menteri, kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.
Ini, katanya, untuk ketelusan dan bagi jelaskan kepada rakyat mana perginya wang pembayar cukai ketika negara berhadapan krisis kesihatan global dan kemelesetan ekonomi.
“Apakah pengubahsuaian yang diperlukan sehingga mencecah kos yang tinggi?
“Rakyat berhak untuk bertanya tentang RM38.5 juta itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Lim wang itu boleh digunakan untuk memerangi pandemik Covid-19 untuk perbanyakkan katil unit rawatan rapi (ICU), rawatan dan ubat-ubatan yang lebih baik, malah bantuan kewangan kepada mereka yang terkesan akibat kemelesetan ekonomi.
Wang itu juga boleh digunakan untuk membina perumahan awam untuk orang miskin, terutama di kawasan bandar, katanya.
Beliau berkata demikian mengulas jumlah disebut kerajaan untuk ubah suai Seri Perdana di Putrajaya yang dibina 22 tahun lalu.
Lim berkata perkara itu juga dibangkitkan oleh bekas perdana menteri Najib Razak awal hari ini yang menyebut jumlah itu bukti kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin tidak pentingkan kebajikan rakyat.
Najib mempersoalkan peruntukan naik taraf Seri Perdana sedangkan kerajaan mendakwa sudah kurang wang untuk tolong rakyat.
Lim turut mempersoalkan tempoh masa yang singkat antara 19 Mac ketika projek itu diluluskan dan 29 Mac ketika kerja ubah suai bermula. Tarikh itu disebut oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Abdul Latiff Ahmad.
“Bagi projek yang telah diluluskan pada 19 Mac tetapi dapat dijalankan hanya sepuluh hari kemudian, menimbulkan persoalan adakah tender terbuka awam telah dilakukan.
“Sekiranya tidak, maka di manakah kepentingannya sehingga protokol perolehan kerajaan tidak dipatuhi?” kata Lim.
Semalam, Abdul Latiff berkata Kompleks Seri Perdana itu sudah teruk dan mengalami banyak kerosakan.
Jabatan Kerja Raya menganggarkan bahawa keseluruhan kerja baik pulih termasuk pendawaian dan kebocoran bumbung akan menelan belanja RM38.5 juta, katanya.
“Projek ini diluluskan pada 19 Mac 2021 dan kerja-kerja bermula pada 29 Mac lalu. Setakat hari ini (29 September), kerja baik pulih sudah mencapai 74% kemajuan berbanding 71% seperti dalam jadual,” kata Abdul Latiff. – 30 September, 2021.
Komen