Muhyiddin pentingkan kediaman PM, bukannya rakyat, kata Najib


Bekas perdana menteri Najib Razak mempersoalkan kenapa Muhyiddin Yassin luluskan peruntukan untuk baiki kediaman rasmi perdana menteri sedangkan mendakwa kerajaan sudah kurang wang untuk bantu rakyat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 September, 2021.

KEPUTUSAN Muhyiddin Yassin meluluskan RM38.5 juta untuk ubah suai kediaman rasmi perdana menteri di Putrajaya menunjukkan beliau tidak pentingkan rakyat, kata Najib Razak.

Najib, yang juga bekas perdana menteri, mempersoalkan peruntukan naik taraf Seri Perdana sedangkan kerajaan mendakwa sudah kurang wang untuk membantu rakyat.

Projek menaik taraf kediaman rasmi perdana menteri diluluskan ketika Muhyiddin mendakwa wang kerajaan persekutuan sudah berkurangan, kata Najib.

Muhyiddin ketika itu mengaitkan hal kekurangan wang kerana digunakan untuk peruntukan belanjawan dan beberapa pakej rangsangan oleh pentadbirannya bagi membantu rakyat Malaysia yang terjejas akibat Covid-19.

“Lebih-lebih lagi sebab ianya dibelanjakan pada ketika PM8 (Muhyiddin) sendiri kata kerajaan dah tak ada banyak wang lagi setelah kerajaan PN dahulu berbelanja RM600 bilion.

“Mungkin yang dimaksudkan dia ialah kerajaan dah tak ada banyak wang lagi bagi bantuan Rakyat tapi masih ada wang untuk 
kerja ubah suai rumah PM,” kata ahli Parlimen Pekan melalui satu hantaran di Facebook.

Ketika itu, Muhyiddin disebut sebagai berkata: “Kita tak ada banyak wang seperti sebelum ini, kerana perkara yang paling penting bagi kita adalah memastikan kehidupan kita; kita seharusnya dapat menguruskan diri dengan lebih baik.”

Najib membalas kata Muhyiddin itu dengan menjelaskan perbelanjaan berjuta-juta ringgit Seri Perdana itu sebagai tidak perlu.

“Walaupun saya mengaku Seri Perdana dah lama tidak diubah suai secara besar-besaran sejak dibina tapi pada ingatan saya keadaan di Seri Perdana masih elok masih saya tinggalkannya pada bulan Mei 2018. 

“Malah kos ubah suai sebanyak RM38.5 juta ini adalah jauh lebih tinggi bandingkan kos pembinaan RM24.17 juta pada tahun 2000,” tambah bekas presiden Umno itu.

Pada Selasa, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata pengubahsuaian itu dibuat setelah mempertimbangkan faktor keselamatan dan bagi menjulang imej negara dengan menyambut tetamu asing di blok rasmi Perdana Menteri.

Ismail Sabri memberi respons kepada Mahfuz Omar (PH-Pokok Sena) melalui jawapan betulis kepada Parlimen, pengubahsuaian itu merangkumi pembaikan elektrik, pendawaian mekanikal, sistem penyaman udara, dan penggantian perabot lama dan usang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) Dr Abdul Latiff Ahmad dalam satu kenyataan semalam dengan berkata kerja-kerja pengubahsuaian kini sudah 74 peratus siap dan dijangka selesai sepenuhnya pada 7 Disember. – 30 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen