Bantuan bersasar diteruskan walau negara berdepan defisit fiskal, kata menteri


Menteri Ekonomi Mustapa Mohamed berkata kerajaan mengakui sebahagian masyarakat harus menerima bantuan dan menjadi tanggungjawab kerajaan untuk membantu mereka. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 September, 2021.

BANTUAN bersasar akan diteruskan di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) walaupun negara berhadapan defisit fiskal yang kini mencecah kira-kira 7%, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Mustapa Mohamed.

Beliau berkata kerajaan mengakui sebahagian masyarakat harus menerima bantuan dan menjadi tanggungjawab kerajaan untuk membantu mereka.

“Maknanya mereka yang terlantar, tak boleh bekerja, yang serius dari segi orang kurang upaya (OKU), ini tanggungjawab kerajaan untuk membela kepentingan mereka,” katanya pada sidang media di bangunan Parlimen di Kuala Lumpur, hari ini.

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob ketika membentangkan RMK12 hari ini berkata bantuan bersasar seperti pemberian wang tunai dan perlindungan sosial akan diteruskan dalam usaha membantu meningkatkan pendapatan dan menangani kenaikan kos sara hidup isi rumah B40 serta kumpulan mudah terjejas.

Mustapa berkata berdasarkan laporan, setiap tahun kerajaan membelanjakan sekitar RM25 bilion untuk pelbagai bantuan termasuk menerusi bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat, biasiswa dan subsidi.

Sementara itu, beliau berkata sebuah pangkalan data menggabungkan semua jenis bantuan diperoleh setiap penerima yang kini sedang dibangunkan dijangka siap sepenuhnya penghujung bulan hadapan.

“Ia akan jadi rujukan tunggal untuk sampaikan bantuan, sebelum ini mungkin ada pertindihan atau ada yang tertinggal selepas ini kita harap dapat murnikan lagi,” katanya. – Bernama, 27 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen