51% ekuiti logistik Bumiputera perlu difikirkan semula, kata bekas timbalan menteri


Isu ekuiti Bumiputera dalam syarikat logistik bukan Bumiputera bakal menjadi ujian terbaru ekonomi dan Agenda Bumiputera di Malaysia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 September, 2021.

KERAJAAN dan pemegang taruh perkhidmatan logistik perlu mengadakan perbincangan sewajarnya tentang syarat ekuiti 51% Bumiputera yang akan memberi kesan negatif kepada pekerjaan, operasi pelabuhan, daya saing dan pelaburan, kata bekas timbalan menteri Ong Kian Ming.

Syarat dikenakan ke atas syarikat perkhidmatan logisitik milik tempatan dan tidak tersenarai awam itu yang walaupun ditangguhkan sehingga 2022, tidak akan menyelesaikan sebarang masalah dalam jangka masa panjang, kata ahli Parlimen Bangi itu.

“Ia hanya menangguhkan keputusan sukar. Apa yang sangat diperlukan adalah untuk pemegang taruh berkaitan termasuk Miti (dan Mida), Kementerian Pengangkutan, operator pelabuhan, operator logistik, dewan perniagaan (tempatan dan asing), institusi kewangan dan ahli politik kedua-dua belah pihak untuk duduk dan mengadakan dialog dan perbincangan sewajarnya.

“Akan wujud banyak kesan negatif tidak terjangka jika keputusan oleh Kementerian Kewangan untuk menguatkuasakan keperluan 51% ekuiti Bumiputera diteruskan,” kata Ong, bekas timbalan menteri perdagangan antarabangsa dan industri dalam satu kenyataan hari ini.

Isu pemilikan ekuiti itu terdedah baru-baru ini apabila Persekutuan Syarikat Perkhidmatan Logisitik Malaysia (FMFF) menghantar surat kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali meminta penjelasan tentang syarat terbaru itu.

Dalam surat itu, mereka berkata syarat terbaru itu akan memberi kesan buruk kepada syarikat logistik tempatan dan kelebihan kepada syarikat logistik milik asing.

Portal berita The Vibes memetik sumber melaporkan yang Kementerian Kewangan menangguhkan penguatkuasaan syarat itu kepada akhir hujung tahun depan.

Ong berkata perundingan pemegang taruh perlu diadakan dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) perlu membentangkan data pelaburan sektor perkhidmatan logistik bersepadu (ILS) dan perkhidmatan logistik bersepadu antarabangsa (IILS).

Operator pelabuhan perlu dilibatkan dalam perundingan itu, ia juga perlu memanggil Kementerian Kewangan, Kementerian Pengangkutan dan syarikat perkhidmatan logistik, katanya lagi.

Menurut Ong terdapat beberapa kesan negatif dasar itu, termasuk tetapi tidak semua, seperti disenarai dibawah:

- Kesukaran ILS milik tempatan mencari rakan Bumiputera yang sesuai yang bersedia membayar harga wajar dalam keadaan ekonomi yang masih tidak menentu.

- Keengganan ILS milik tempatan untuk membuat pelaburan pertumbuhan, seterusnya kekal menjadi pemain kerdil industri dan tidak berkembang menjadi pembekal ILS.

- Kemungkinan pembekal tempatan IILS memindahkan syarikat mereka ke luar negara.

- Peralihan perniagaan keluar dari Malaysia, seterusnya mengurangkan aliran barangan dan perkhidmatan menerusi pelabuhan Malaysia.

- Menghantar petunjuk salah kepada pelabur asing sektor logistik termasuklah mereka yang mahu menjadikan Malaysia sebagai hab logistik serantau kerana kebimbangan mereka akan dipaksa menjual majoriti pegangan kepada operator tempatan.

“Ini bermaksud akan berlaku kelembapan malah penguncupan dalam keseluruhan keluaran ekonomi pembekal sektor logistik yang juga bermakna pengurangan pekerjaan dan pendapatan untuk rakyat Malaysia dari seluruh kaum dan latar belakang yang berada dalam sektor logistik dan pengurangan pendapatan dan cukai korporat untuk Kerajaan Malaysia,” kata Ong lagi.

Menurut Ong, syarat terbaru 51% ekuiti Bumiputera untuk syarikat logisitik milik bukan Bumiputera Malaysia yang tidak tersenarai dalam pasaran saham timbul selepas berakhirnya tempoh syarat ekuiti Bumiputera terdahulu pada Disember tahun lepas.

Syarat itu sepatutnya dikuatkuasa pada Disember 2020, tetapi ditangguhkan kepada Disember 2021, sebelum The Vibes melaporkan ia ditangguhkan sekali lagi kepada 2022. – 25 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen