Azhar jelaskan keputusan batal tawaran Nga pengerusi mesyuarat Dewan Rakyat


Ragananthini Vethasalam Chan Kok Leong Diyana Ibrahim

Yang di-Pertua Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun mengesahkan beliau sendiri menarik balik tawaran kepada Ahli Parlimen Nga Kor Ming daripada mempengerusikan sementara mesyuarat Dewan Rakyat semalam, berkata beliau tidak dipengaruhi mana-mana pihak. – Gambar tangkap layar Youtube The Malaysian Insight, 21 September, 2021.

YANG di-Pertua Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun mengesahkan beliau meminta Ahli Parlimen Nga Kor Ming (Teluk Intan-PH) mempengerusikan sementara mesyuarat Dewan Rakyat semalam tetapi kemudian menarik balik tawaran itu.

Azhar bagaimanapun menjelaskan beliau tidak didorong oleh mana-mana pihak untuk menukar keputusannya itu.

“Memang kuasa saya untuk melantik dan meminta mana-mana ahli Parlimen untuk pengerusi mesyuarat untuk sementara sehingga Tuan Yang di-Pertua kembali.

“Saya  memang bagi surat pada Teluk Intan (Nga) tapi saya tukar fikiran saat akhir.

“Saya tidak didorong atau ditekan oleh sesiapa, saya guna kuasa untuk tukar fikiran,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Semasa sesi soal jawab pada sebelah pagi, menteri kanan Mohamed Azmin Ali enggan menjawab soalan pembangkang sama ada beliau campur tangan urusan Parlimen, khususnya berhubung permintaan Azhar kepada Nga untuk mempengerusikan sementara mesyuarat Dewan Rakyat semalam.

Gobind Singh Deo (Puchong-PH) sebelum itu bangun membangkitkan Aturan Mesyuarat 7(3) mengenai kuasa speaker meminta mana-mana ahli Dewan Rakyat untuk mempengerusikan sementara mesyuarat.

Beliau meminta Azhar menjelaskan adakah prosiding Dewan Rakyat semalam sah selepas permintaan beliau kepada Nga ditarik balik.

Gobind juga bertanya sama ada penarikan balik itu ada kaitan dengan campur tangan seorang menteri kanan, seperti dilaporkan media semalam.

Menurut Azhar, prosiding Dewan Rakyat semalam sah dan tidak terjejas kerana beliau sendiri yang mempengerusikannya.

Media semalam melaporkan seorang menteri kanan meminta Azhar menarik balik tawarannya kepada Nga untuk mempengerusikan sidang pada sebelah petang.

Nga mengesahkan beliau menerima dan bersetuju dengan permintaan tetapi enggan mengulas lanjut dakwaan campur tangan menteri kanan.

Satu kerusi timbalan speaker Dewan Rakyat kosong selepas Azalina Othman Said (Pengerang-BN) letak jawatan pada 23 Ogos lalu atas alasan yang menyentuh soal moral dan integriti, serta kewibawaan institusi.

Rabu lalu, Azalina mempengerusikan sementara mesyuarat pada sidang sebelah petang.

Pemilihan timbalan speaker sepatutnya dibuat pada 14 September, tetapi ditangguh sehingga pindaan Perlembagaan Persekutuan untuk menambah satu lagi kerusi timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, menjadi tiga. – 21 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen