Azmin elak jawab soalan isu halang Nga di Parlimen


Chan Kok Leong Ragananthini Vethasalam Diyana Ibrahim

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali enggan menjawab soalan pembangkang di Dewan Rakyat sama ada beliau campur tangan urusan Parlimen atau tidak.– Gambar fail The Malaysian Insight, 21 September, 2021.

MENTERI Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali enggan menjawab soalan pembangkang di Dewan Rakyat sama ada beliau campur tangan urusan Parlimen atau tidak.

“Saya mencabar ahli parlimen Gombak. Adakah beliau menteri kanan tersebut. Kalau berani sebagai menteri kanan, bangun dan jawab soalan sekarang,” kata Gobind Singh (PH-Puchong) semasa sesi soal jawab pagi hari ini.

Azmin kemudiannya bangun dan berkata beliau tidak akan jawab soalan pembangkang.

“Saya berani kerana ikut peraturan. Ini sesi soal jawab. Anda sebagai peguam harus tahu,” kata Azmin sebelum mikrofonnya dimatikan oleh Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat Rashid Hasnon (PN-Batu Pahat).

Rashid, yang mempengerusikan sesi pagi, kemudiannya meneruskan sesi soal jawab sekali gus menamatkan perbalahan itu.

Sesi Dewan Rakyat pagi ini terganggu selepas Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) bertanya sama ada seorang menteri kanan telah menghalang Nga Kor Ming (PH-Teluk Intan) daripada mempengerusikan sidang Dewan Rakyat sebagai timbalan speaker semalam.

“Siapakah menteri kanan yang begitu memalukan. Salah guna kuasa ganggu urusan Parlimen dan halang Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun daripada membiarkan Nga mempengerusikan mesyuarat semalam?” kata Khoo.

“Hari ini saya ada lihat dua menteri kanan di sini. Adakah mereka salah satu daripada menteri kanan tersebut? Kita hendak tahu sama ada menteri kanan tersebut ada dalam dewan ini atau tidak?”

Selain Azmin, turut berada dalam sesi Dewan Rakyat pagi ini ialah Hishammuddin Hussein (Menteri Kanan Pertahanan).

Menurut laporan berita semalam, seorang menteri kanan telah meminta Azhar menarik balik tawarannya kepada Nga untuk mempengerusikan sidang pada petang semalam.

Walaupun Nga telah mengesahkan beliau menerima dan bersetuju dengan tawaran itu, Azhar bagaimanapun belum memberi respons kepada tuduhan mengenai campur tangan menteri kanan dalam urusan Parlimen itu. – 21 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen