Melbourne tutup tapak bina selepas tunjuk perasaan antivaksin


Pekerja binaan membuat protes terhadap pihak berkuasa dengan makan tengah hari di jalan raya dan membuat protes terhadap pihak berkuasa kesihatan yang menutup tapak pembinaan di Melbourne, Australia. – Gambar AFP, 21 September, 2021.

TAPAK pembinaan di seluruh Melbourne ditutup secara tiba-tiba pada Selasa setelah buruh membuat rusuhan terhadap keperluan vaksinasi di bandar kedua terbesar di Australia.

Tapak bina akan ditutup selama dua minggu, dalam apa yang digambarkan pihak berkuasa sebagai tindak balas kepada “ketidakpatuhan yang meluas” terhadap peraturan Covid-19 selain protes ganas.

Lebih 100 pekerja binaan menyerang dan memecahkan tingkap pejabat kesatuan di pusat Melbourne pada Isnin, menyuarakan kemarahan mereka terhadap keperluan vaksin.

Melbourne telah berada dalam sekatan pergerakan ketat selama tujuh minggu, ketika pihak berkuasa berusaha mengekang pandemik varian Delta.

Beberapa kluster telah dikaitkan dengan tapak pembinaan, di mana langkah-langkah pengekangan Covid dikatakan lemah.

“Kami sudah jelaskan: jika anda tidak patuh arahan, kami tidak akan teragak-agak ambil tindakan,” kata menteri negeri industri negeri Tim Pallas.

“Kami sudah beri notis kepada industri ini seminggu lalu, kami telah lihat tingkah laku mengerikan di tapak bina dan di jalanan, dan sekarang kami bertindak tegas dan tanpa ragu-ragu,” katanya.

Penutupan tapak pembinaan menyebabkan puluhan ribu tidak dapat bekerja, dan protes selanjutnya dijangka pada Selasa.

Bos kesatuan sekerja tempatan John Setka mengecam sekumpulan kecil penunjuk perasaan, yang menurutnya melemahkan seluruh tenaga kerja.

“Orang bodoh fasis, mabuk yang tidak tunjukkan semangat Australia adalah sebab pekerja binaan terpaksa duduk di rumah dan tidak dapat gaji selama dua minggu akan datang,” katanya.

Negeri Victoria mencatatkan 603 kes baharu Covid dalam 24 jam terakhir. – AFP, 21 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen