Kit Siang gesa Warisan, Pejuang dan Muda tandatangan MoU dengan kerajaan


Persetujuan dan kerjasama semua parti pembangkang seperti Pejuang perlu demi kestabilan politik serta mengatasi krisis negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 September 2021.

PARTI pembangkang Warisan, Pejuang dan Muda perlu menyokong dan menandatangani memorandum persefahaman  (MoU) dengan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob untuk membolehkan kestabilan politik dan mengatasi krisis negara, kata Lim Kit Siang hari ini.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri berkata inilah sebabnya pakatan pembangkang terbesar, Pakatan Harapan (PH) bersetuju dan menandatangani MoU kepercayaan-perbekalan-reformasi (CSR) dengan Ismail Sabri minggu lalu.

“DAP dan PH akan melakukan yang terbaik untuk menjayakan MoU CSR walaupun tiada jaminan ia akan berjaya membawa Malaysia ke lanskap politik baharu,” katanya dalam satu kenyataan.

Pemimpin DAP berkata PH juga akan melakukan yang terbaik untuk menghormati janji mereka dalam MoU untuk memastikan pandemik Covid-19 dapat dikawal dan diatasi.

“Kita memerlukan moratorium dan gencatan politik untuk tempoh 10 ke 18 bulan yang akan datang sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 supaya kita boleh fokus untuk memenangi perang melawan Covid-19 .

“Kita tidak mahu digelar sebuah kleptokrasi, kakistokrasi, atau negara gagal,” katanya.

Walaupun PH bersetuju bekerjasama dengan kerajaan Ismail Sabri untuk mencapai kestabilan politik dan memperkenalkan reformasi, parti pembangkang lain seperti Warisan yang berpangkalan di Sabah, Pejuang yang dipimpin Dr Mahathir Mohamad dan parti anak muda masih belum memberikan persetujuan.

Pada 13 September, kerajaan pusat dan PH menandatangani MoU bersejarah untuk kestabilan dan transformasi politik.

MoU mempunyai enam teras, iaitu memperkukuhkan pelan Covid-19 negara, transformasi institusi, reformasi Parlimen, kebebasan kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963, dan pembentukan jawatankuasa pemandu.

Berdasarkan perjanjian yang dipersetujui, kerajaan berjanji untuk melaksanakan tiga pembaharuan besar pada pertengahan tahun depan, sebelum sesi Parlimen berikutnya atau kelima.

Ia adalah undang-undang anti lompat parti, pelaksanaan Undi18 dan pendaftaran pemilih automatik, pelaksanaan had penggal 10 tahun bagi jawatan perdana menteri.

Pelbagai pembaharuan Parlimen juga terdapat dalam perjanjian, seperti rang undang-undang Perkhidmatan Parlimen, yang bertujuan mengembalikan autonomi Parlimen dalam kewangan dan pentadbirannya.

Kesepakatan itu juga akan menyaksikan PH tidak akan memberikan sokongan menentang Ismail Sabri dalam sebarang usul undi percaya, yang membolehkan beliau mengekalkan jawatannya walaupun memiliki majoriti sangat tipis. – 17 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen