Lonjakan kes Covid-19 tingkatkan permintaan ambulans swasta


Elill Easwaran

Satu daripada cabaran dihadapi penyedia perkhidmatan ambulans swasta ketika pandemik Covid-19 adalah untuk melindungi paramedik daripada penyakit berjangkit. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 September 2021.

TERDAPAT peningkatan permintaan untuk ambulans swasta susulan jumlah kes Covid-19 yang tinggi, kata penyedia perkhidmatan tersebut.

Mereka memberitahu The Malaysian Insight, sejak bermulanya wabak itu sebanyak 90% panggilan diterima adalah berkaitan Covid-19.

Kata mereka, ia melibatkan pengangkutan pesakit di bawah pengawasan (PUS) atau kes positif disahkan ke pusat kuarantin atau hospital bagi mendapatkan rawatan.

Pengurus Besar dan Ketua Paramedik Paramedic EMS Services Sdn Bhd (PEMSS) Faizal Nurdin berkata terdapat lonjakan permintaan ambulans swasta, terutama dalam beberapa bulan terakhir ketika jumlah jangkitan meningkat.

“Ada masanya kami terpaksa melakukan lebih 10 perjalanan kecemasan dalam tempoh 24 jam,” katanya.

Beliau menambah setakat ini pasukannya sudah memberikan perkhidmatan kepada lebih 100 pesakit sejak wabak meletus. 

Beliau berkata satu daripada cabaran susulan pandemik Covid-19 adalah untuk melindungi paramedik daripada penyakit berjangkit.

PEMSS mempunyai 10 ambulans dengan pelbagai keupayaan tindak balas, mulai daripada kategori bukan kritikal hingga yang mengancam nyawa bersama 40 kakitangan perubatan sepenuh masa yang menjalankan tugas sebagai paramedik dan jururawat.

Ia beroperasi di seluruh Malaysia dan berkembang di luar Lembah Klang hingga Kota Kinabalu sejak ditubuhkan pada 2014.

Jurucakap Perkhidmatan Ambulans Medicore yang beroperasi di Negeri Sembilan, Pet Jia Li berkata terdapat peningkatan dalam dua bulan terakhir kerana lonjakan kes Covid-19.

Bagaimanapun, beliau berkata akhir-akhir ini ketika peratusan vaksinasi meningkat, kes Covid-19 yang memerlukan kemasukan ke hospital juga berkurangan, begitu juga permintaan untuk ambulans swasta.

“Semasa puncak wabak, kami menerima purata 20 panggilan kecemasan setiap hari tetapi malangnya kami tidak dapat menangani setiap kes kerana pelbagai faktor.

“Namun akhir-akhir ini, permintaan berkurangan sehingga purata 7 panggilan sehari sahaja,” katanya.

Menurutnya, Medicore Ambulance Services juga menurunkan harga perkhidmatan untuk memenuhi keperluan mereka yang kurang bernasib baik yang tidak berjaya mendapat ambulans daripada NGO atau kerajaan untuk membawa ke hospital.

Kevin Yap, pegawai negeri untuk NGO St. John Ambulans Malaysia di Melaka berkata mereka sangat sibuk sejak wabak itu bermula.

“Walaupun kami menangani kebanyakan pesakit bukan Covid, kami turut memperuntukkan satu ambulans hanya untuk pesakit Covid-19 yang membuat lebih 30 perjalanan,” katanya.

Beliau menambah mereka sedang mengkaji harga kerana kos juga turut meningkat dalam beberapa bulan terakhir.

NGO itu kini mengendalikan 10 ambulans di Melaka dengan sekumpulan kakitangan jururawat dan doktor.

Malaysia mencatat lebih 2 juta kes, dengan jumlah kematian lebih 21,000. – 19 September, 2021.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen