Pesakit Covid-19 dibantu Adun kini dirawat di pusat kuarantin Maeps


Raevathi Supramaniam

Adun Subang Jaya Michelle Ng lega wanita Indonesia yang dibantunya kini berada dalam keadaan stabil dan sudah dipindahkan dari HKL ke pusat kuarantin di Maeps, Serdang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Ogos, 2021.

ADUN Subang Jaya Michelle Ng lega selepas seorang pesakit Covid-19 yang dibantunya semalam sudah ditempatkan di  pusat kuarantin di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps) di Serdang, Selangor, selepas beliau bersusah payah mendapatkan perkhidmatan ambulans.

Menerusi Twittter, Ng menceritakan pengalamannya cuba mendapatkan ambulans untuk membawa pesakit wanita yang sukar bernafas ke hospital.

“Selepas menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur, dia sekarang dalam keadaan stabil dan dipindahkan ke pusat kuarantin di Maeps, Serdang.

“Wanita itu pesakit Covid-19 kategori 3,” Ng memberitahu The Malaysian Insight.

Menurut Ng, wanita warga Indonesia itu ditinggalkan majikannya di Hospital Shah Alam. Wanita itu bagaimanapun dibenarkan tinggal di asrama yang disediakan majikan tersebut.

“Dia diberhentikan kerja tetapi majikan masih beri tempat tinggal. Yang saya tahu, apabila dia sakit, dia ditinggalkan di Hospital Shah Alam.

“Semasa mendaftar di hospital, majikan beritahu dia tak kenal pekerja ini,” kata Ng.

Tambahnya, walaupun sukar untuk mendapatkan ambulans, beliau tetap berusaha supaya wanita itu mendapat bantuan perubatan, selain mengelakkan risiko jangkitan kepada penduduk lain. 

Menurut Ng, beliau akhirnya berjaya mendapatkan ambulans dengan bayaran RM700 untuk membawa wanita itu ke Hospital Kuala Lumpur. – 3 Ogos, 2021. 

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen