107,421 kes Covid-19 dikesan melalui kit ujian kendiri, kata KP kesihatan


Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata keputusan ujian Covid-19 yang dibuat secara kendiri perlu dilaporkan kerana ia mempengaruhi keseluruhan kadar positif negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 September, 2021.

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) melaporkan 107,421 kes Covid-19 dari pengguna kit ujian kendiri, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata kes positif yang direkodkan setakat 13 September ini adalah daripada 758,919 individu yang menggunakan kit ujian kendiri jenis RTK-Ag.

Dr Noor Hisham berkata, Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) melaporkan jumlah ujian dan kadar positif bagi semua ujian pengesanan Covid-19 jenis PCR, RTK-Ag (profesional) dan RTH-Ag (kendiri) menunjukkan keberkesanan berterusan selepas beberapa minggu, menurut laporan mingguan epidemiologi (EW). 

Beliau berkata semua keputusan ujian Covid-19 yang dilaporkan penting kerana mempengaruhi keseluruhan kadar positif negara.

Ini selain meningkatnya kesedaran rakyat tentang pentingnya membuat ujian pengesanan Covid-19, kata Dr Noor Hisham.

“Walaupun KKM sentiasa berusaha meningkatkan kapasiti ujian Covid-19 di kemudahan kesihatan kerajaan dan swasta, namun dengan kerjasama orang ramai untuk membuat ujian saringan kendiri, jumlah ini (ujian) dapat terus meningkat.”

Dr Noor Hisham berkata mereka yang ada gejala atau berisiko tinggi terutamanya kontak rapat perlu segera buat ujian saringan dan melaporkan kepada KKM melalui aplikasi MySejahtera.

“Ujian saringan ini dapat dibuat menggunakan kit ujian kendiri atau di mana-mana kemudahan kesihatan berdekatan.

“Pengesanan awal kes menggunakan kit ujian kendiri ini dapat bantu individu pantau kesihatan dan menilai sendiri risiko bagi mendapatkan rawatan kesihatan sebelum terlambat, supaya dapat kurangkan kes maut di luar hospital (BID).”

Tambahnya kit ujian kendiri lebih mudah dan cepat bagi mempermudahkan proses individu positif dan pengasingan sehingga risiko penularan kepada individu lain terutama yang rentan dapat dikurangkan.

“Orang ramai juga disaran guna kit ujian kendiri yang telah disetujui oleh Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) untuk mendapatkan keputusan yang sah.

“Setiap individu perlu laporkan hasil ujian dalam aplikasi MySejahtera sama ada positif, negatif, atau tidak sah bagi memungkinkan KKM ambil tindakan susulan.” – 15 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen