Takiyuddin mungkin terlepas tindakan tatatertib isu batal ordinan darurat


Chan Kok Leong Ragananthini Vethasalam Mohd Farhan Darwis

Takiyuddin Hassan mungkin tidak dikenakan tindakan tatatertib berhubung kenyataan mengelirukan tentang pembatalan ordinan darurat pada 29 Julai lalu, selepas Yang Dipertua Dewan Rakyat hari ini berkata usul untuk membangkitkan isu itu sudah tamat tempoh. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 September, 2021.

TAKIYUDDIN Hassan mungkin terlepas dari tindakan tatatertib kerana mengelirukan Dewan Rakyat memandangkan usul untuk merujuknya tidak diputuskan sehingga tamat tempoh mesyuarat.

“Saya tidak putuskan usul untuk rujuk Takiyuddin kepada Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan sebab sebelum ia diputuskan, mesyuarat sudah ditangguhkan,” kata Yang Dipertua Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun di Parlimen hari ini.

“Dan sejak mesyuarat sebelum ini sudah tamatkan usul (untuk rujuk Takiyuddin), tidak dapat diteruskan dalam mesyuarat ini,” kata Azhar.

Tambahnya ia selaras dengan Peraturan 15 (5) Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat yang mengatakan usul ahli-ahli yang bukan ahli kerajaan yang telah dicadangkan dalam sesuatu mesyuarat tetapi belum putus, tidak boleh dibawa ke mesyuarat seterusnya.

Azhar berkata demikian menjawab Gobind Singh (Puchong-PH) mengenai usul untuk rujuk Takiyuddin kepada Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan kerana mengelirukan Parlimen.

“Sepanjang sesi itu, saya telah minta keputusan dan anda janji akan putuskan. Adakah ini bermaksud Ahli Parlimen Kota Bharu (Takiyuddin) akan terlepas kerana anda tidak putuskan usul saya?” kata peguam itu.

Pada 28 Julai, Gobind dan Hanipa Maidin (Sepang-PH) telah mencadangkan usul untuk rujuk Takiyuddin ke Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan setelah beliau didakwa telah mengelirukan Dewan Rakyat mengenai pembatalan Ordinan Darurat.

Pada 26 Julai, Takiyuddin, ketika itu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Parllimen) memberitahu Dewan Rakyat kerajaan Perikatan Nasional telah membatalkan enam Ordinan Darurat yang diluluskan tahun ini dalam tempoh Darurat.

“Kerajaan telah membuat keputusan berdasarkan kepada Perkara 150 (3) untuk membatalkan semua Ordinan Darurat yang telah dibuat semasa Proklamasi Darurat ini,” kata Takiyuddin.

Kenyataan Takiyuddin itu telah mengundang dukacita Yang di-Pertuan Agong yang bertitah Baginda sudah memberitahu Takiyuddin dan Peguam Negara Idrus Harun supaya perkara itu dibincangkan di Dewan Rakyat terlebih dahulu.

Pada 29 Julai, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Ahmad Fadil Shamsuddin mengeluarkan kenyataan, Baginda menzahirkan rasa amat dukacita kerajaan tidak membincangkan pembatalan ordinan darurat di Parlimen.

“Seri Paduka Baginda menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan yang telah dibuat di Parlimen pada 26 Julai 2021 lalu bahawa kerajaan telah membatalkan semua Ordinan Darurat yang telah dimasyhurkan oleh Baginda sepanjang tempoh Darurat walhal pembatalan belum lagi diperkenan Baginda,” kata Fadil.

Tidak lama selepas kenyataan Istana Negara dikeluarkan, Azhar menangguhkan Parlimen selama satu setengah hari lagi, dengan alasan bimbang penularan Covid-19. – 14 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen