Rusia, Belarus buat latihan tentera besar-besaran


Presiden Rusia Vladimir Putin dan sekutu Belarus Alexander Lukashenko berkata mereka bersetuju memperdalam integrasi sesama mereka, termasuk dalam bidang pertahanan. – Gambar EPA, 10 September, 2021.

RUSIA dan Belarus memulakan latihan ketenteraan bersama secara besar-besaran di sempadan Eropah pada Jumaat yang dipantau ketat oleh Nato ketika ketegangan antara Belarus dan jiran baratnya meningkat.

Latihan tentera Zapad-2021 oleh kedua-dua negara akan berlangsung selama seminggu di Belarus, barat Rusia dan Laut Baltik, kata kementerian pertahanan Rusia.

Moscow berkata 200,000 anggota dikerahkan ambil bahagian.

Latihan itu dilakukan sehari selepas Presiden Rusia Vladimir Putin dan sekutu Belarus Alexander Lukashenko berkata mereka bersetuju memperdalam integrasi sesama mereka, termasuk dalam bidang pertahanan.

Latihan itu juga diperhati ketat oleh jiran-jiran Belarus.

Poland telah mengisytiharkan darurat di sepanjang sempadannya dengan Belarus berikutan kemasukan pendatang asing yang Warsaw katakan sebagai salah rejim Minsk.

Bercakap di Moscow pada malam latihan, Putin dan Lukashenko berkata mereka akan mengeratkan hubungan ketenteraan mereka.

Pemimpin Rusia itu berkata latihan itu “tidak ditujukan kepada sesiapa, tetapi logik dibuat ketika kesatuan lain, seperti Nato, secara aktif meningkatkan kehadiran tentera mereka” di sempadan Rusia dan Belarus.

Lukashenko berkata kedua-dua negara “tidak melakukan apa-apa yang saingan kita tidak buat.”

Putin, yang berkuasa selama lebih 20 tahun, dan Lukashenko, yang berkuasa hampir 30 tahun, mengumumkan pada Khamis sejumlah perjanjian mempereratkan lagi hubungan mereka.

Walaupun mereka berkata telah fokus mewujudkan dasar ekonomi yang bersatu, Lukashenko juga berkata mereka telah maju dalam memperluas hubungan ketenteraan.

“Kami berbincang untuk bina ruang pertahanan tunggal,” kata Putin kepada sebuah akhbar milik Kremlin. – AFP, 10 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen