SPRM sedia bekerjasama dengan JITN perangi rasuah


SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersedia memberi kerjasama dan komitmen sepenuhnya kepada Jabatan Integriti dan Tadbir Urus Negara (JITN) bagi memastikan tadbir urus agensi  kerajaan bebas daripada isu penyelewangan, rasuah dan salah guna kuasa.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Dzuklifli Ahmad berkata sehubungan itu, perkara berhubung Pegawai Integriti Bertauliah SPRM digantikan oleh Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) di unit integriti agensi kerajaan selaras dengan keputusan kerajaan menubuhkan JITN, sudah pun selesai.

“Ia sudah selesai dan kita pastikan tugas dan tanggungjawab SPRM dijalankan dengan baik dan tidak terjejas,“katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Paluan Berundur Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) SPRM Mohd Jamidan Abdullah. 

Pada Jumaat lepas, SPRM dalam kenyataannya menegaskan bahawa penggantian di unit integriti agensi kerajaan tidak menjejaskan peranan suruhanjaya itu.

Sementara itu, Mohd Jamidan bersara wajib esok selepas berkhidmat di BPR dan SPRM selama 35 tahun sebelum digantikan dengan Jaafar Mahad, 58, yang merupakan Ketua Pegawai Integriti di Petroliam Nasional Bhd (Petronas).

Pelantikan Jaafar berkuat kuasa pada 1 Februari ini.

Jaafar yang berkhidmat di SPRM selama 34 tahun memulakan kerjayanya pada 1983. Beliau pernah menjadi pengarah SPRM Sarawak (2002-2003), pengarah SPRM Johor (2004-2005), pengarah SPRM Selangor (2006-2007), pengarah Bahagian Perisikan (2007-2010), pengarah Bahagian Operasi Khas (2010-2013), pengarah Siasatan (2014-2015) dan timbalan ketua pesuruhjaya pada 2015.

Dalam pada itu, Dzulkifli mengumumkan pelantikan Razalian Ab Rahman sebagai Pengarah SPRM Kuala Lumpur yang baharu berkuat kuasa 1 Februari ini, bagi menggantikan Han Chee Rull yang bersara wajib. – Bernama, 22 Januari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen