Muhyiddin mahu saya letak jawatan ketika itu, dedah Maszlee


Alfian Z.M. Tahir

Bekas menteri pendidikan Dr Maszlee Malik dalam buku terbaharunya "memori Bukan Memoir" mendedahkan Muhyiddin Yassin bertanggungjawab atas peletakan jawatannya pada 2020 yang dikaitkan dengan isu kontrak YTL Communications Sdn Bhd ketika Pakatan Harapan menjadi kerajaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 September, 2021.

BEKAS menteri pendidikan Maszlee Malik mendakwa Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin bertanggungjawab atas peletakan jawatannya yang dikaitkan dengan isu kontrak YTL Communications Sdn Bhd (YTLC) ketika kerajaan Pakatan Harapan masih berkuasa.

Ahli Parlimen Simpang Rengam membuat dakwaan itu dalam buku terbaharunya “Memori Bukan Memoir” di mana beliau berkata telah dipanggil sebanyak lima kali oleh perdana menteri ketika itu Dr Mahathir Mohamad berkaitan isu tersebut.

Ahli akademik yang menjadi ahli politik itu mendedahkan pimpinan tertinggi Kementerian Pendidikan (KPM) turut hadir dalam dua mesyuaratnya bersama Dr Mahathir bagi menjelaskan keputusan tidak menyambung kontrak YTLC sebagai penyedia perkhidmatan untuk projek 1BestariNet.

Projek 1BestariNet dimulakan oleh Muhyiddin pada 2011 ketika beliau memegang jawatan menteri pendidikan.

“Saya sering ditanyakan apakah permintaan perdana menteri ke-7 (Mahathir) untuk saya memulangkan jawatan saya kepada beliau adalah disebabkan oleh isu 1BestariNet, atau lebih khusus kontrak YTLC dengan KPM.

“Namun boleh saya katakan hal itu merupakan antara sebab mengapa perdana menteri meminta saya berbuat demikian, dan menurut beliau, atas permintaan Presiden Parti Bersatu ketika itu (Muhyiddin).

“Dalam mesyuarat terakhir bersama beliau (Mahathir), saya ingat lagi, beliau mengatakan, ‘Presiden Bersatu amat marah dengan anda kerana isu ini..’, tidak lama selepas itu saya menerima kiriman e-mel daripada beliau yang meminta saya memulangkan jawatan yang diamanahkan kepada saya pada Jun 2018 kepada beliau semula,” tulis Maszlee yang kini ahli Parlimen bebas.

Pada Januari 2020, Maszlee umum peletakan jawatannya, menyebut tiga keputusannya yang dianggap telah meletakkan kerajaan Pakatan Harapan dalam krisis.

Tiga keputusan yang disebutnya itu adalah isu pengajaran Jawi di sekolah vernakular, akses internet kepada sekolah, dan program sarapan percuma di sekolah.

Beliau bagaimanapun tidak menyebut kontrak 1BestariNet atau YTLC sebagai salah satu sebab untuk berundur dari kabinet.

Cadangan Maszlee untuk mengajar tulisan Jawi di sekolah vernakular pada 2020 tidak disambut baik kumpulan pendidikan Cina dan Tamil. Idea itu ditentang malah menimbulkan reaksi negatif kumpulan pendesak Melayu yang melihat tentangan itu sebagai penghinaan terhadap budaya dan sejarah Melayu.

Susulan itu timbul desakan menggesa sekolah vernakular ditutup, sementara para pendidik Cina yang menentang pengajaran tulisan Jawi di sekolah jenis kebangsaan, telah menjadi sasaran kumpulan kebencian selain diugut. – 6 September, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen