Kamala Harris di Hanoi ketika dunia kecoh isu Afghanistan 


Naib Presiden Amerika Syarikat Kamala Harris (kiri) bersama Naib Presiden Vietnam Vo Thi Anh Xuan hari ini bagi membincangkan komitmen AS di Vietnam, selain isu-isu melibatkan keselamatan rantau Asia Tenggara. – Gambar EPA, 25 Ogos, 2021.

NAIB Presiden Amerika Syarikat (AS) Kamala Harris memulakan lawatan ke Vietnam pada Rabu bagi menekankan komitmen AS di Asia. 

Kunjungannya itu digelar pengkritik sebagai “lawatan pekak” berikutan pengunduran AS dari Kabul yang sama dengan apa yang dibuat kuasa besar itu pada 1975 di Saigon, Vietnam.

Harris akan bertemu presiden dan perdana menteri negara komunis itu di Hanoi, sehari selepas mengkritik Beijing kerana membuat tuntutan terhadap sebahagian besar Laut China Selatan yang dipertikaikan.

Lawatannya itu dilewatkan sedikit, seperti disebut pegawai AS sebagai “insiden kesihatan yang tidak normal” di Hanoi, rujukan jelas kepada “sindrom Havana” yang menimpa diplomat AS di beberapa negara termasuk China dan Rusia.

Tidak jelas apa yang menyebabkan sindrom itu dan sebab itu timbulnya tuduhan tidak berasas kononnya Rusia atau pihak lain menggunakan alat elektronik sonik atau intensiti tinggi untuk menggangu fizikal diplomat AS.

Kunjungan itu, yang pertama ke Vietnam oleh wakil presiden AS, dibuat selepas dua hari beliau di Singapura, di mana Harris mengkritik China dan berusaha untuk meningkatkan kredibiliti AS setelah Taliban kembali berkuasa di Afghanistan.

Bagaimanapun langkah AS meninggalkan Afghanistan dikritik hebat warga dunia, dilihat sama kucar-kacirnya seperti trauma di Saigon pada 1975 apabila helikopter terakhir AS membawa keluar pelarian perang dari bumbung kedutaannya di hari-hari terakhir perang AS dengan Vietnam.

Harris dilihat cuba mengelak dari Saigon, yang kini dinamakan sebagai Ho Chi Minh, dan pada Rabu beliau akan berusaha mengalihkan fokus dari sejarah silam AS dengan menekankan komitmen Washington terhadap Asia Tenggara ketika merasmikan cabang serantau Pusat Kawalan Penyakit AS (CDC) di Hanoi.

Amerika Syarikat telah menyumbangkan lima juta dos vaksin Covid-19 kepada Vietnam. – AFP, 25 Ogos, 2021.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen