AS mahu pastikan rantau Asia Tenggara bebas, terbuka, kata Kamala Harris


Naib Presiden Amerika Syarikat (AS) Kamala Harris dalam lawatannya ke Singapura hari ini berkata AS akan sentiasa menjaga kepentingan dan ketenteraman rantau Asia Tenggara. – Gambar EPA, 24 Ogos, 2021.

AMERIKA Syarikat (AS) akan meneruskan dasar rantau Indo-Pasifik yang bebas dan terbuka yang dapat memelihara kepentingannya dan rakan serta sekutunya, kata Naib Presiden Kamala Harris.

Harris yang melakukan lawatan rasmi ke Singapura berkata, sejak sekian lama AS mengetengahkan visi keamanan dan kestabilan bagi rantau ini.

“Kebebasan pelayaran di laut, dagangan yang tidak terganggu serta memacu hak asasi manusia. Komitmen terhadap ketenteraman berasaskan peraturan antarabangsa dan mengiktiraf kepentingan bersama adalah suatu yang tidak boleh diambil mudah,” katanya ketika berucap mengenai dasar luar AS bagi rantau Indo-Pasifik, di Singapura hari ini.

Ucapannya disiarkan secara langsung oleh Kedutaan AS di Singapura, dengan kerjasama Sekolah Dasar Awam Lee Kwan Yew.

“Sekarang, ketika kita berdepan dengan ancaman terhadap ketenteraman itu, saya berada di sini untuk menegaskan kembali komitmen kami terhadap visi itu. Untuk mengukuhkannya serta memastikan ia mampu mendepani cabaran hari ini dan esok.

“Untuk melakukannya, kita akan meluangkan masa kita, tenaga kita untuk mengukuhkan hubungan dengan rakan kongsi utama kita termasuk dengan Singapura dan Vietnam,” katanya sambil menambah, hubungan berkenaan akan bersandarkan kepada ‘ketelusan, keterbukaan, menyeluruh dan inklusif terhadap kepentingan dan manfaat bersama.’

 Sebagai tambahan terhadap usaha mengukuhkan kerjasama dua hala, AS juga akan akan terus menyertai kerjasama pelbagai hala menerusi institusi yang sudah bertapak kukuh seperti Asean, yang menurut Harris sebagai ‘terus kekal menjadi seni bina rantau ini’.

“Saya percaya apabila sejarah kurun ke-21 terlakar, kebanyakannya akan tertumpu di sini, di rantau Indo-Pasifik.

“Hasrat kami adalah untuk mengukuhkan perkongsian dan visi bersama supaya Amerika dengan rakan kongsinya, dapat bersama-sama terus melakarkan sejarah itu.

“Bagi melaksanakannya, pasti tidak syak lagi, kita perlu mempertahankan kepentingan rantau ini dan kita mesti mempertahankan juga komitmen. Komitmen itu sudah pasti, termasuk aspek keselamatan,” katanya.

Harris turut mendedahkan lawatannya semalam ke Pangkalan Tentera Laut Changi, yang ketika ini kapal tentera laut AS, USS Tulsa, sedang berlabuh.

“Ia adalah simbol betapa kuat dan erat perkongsian aspek keselamatan antara negara kami, satu pernyataan terhadap komitmen keselamatan AS terhadap rantau ini. Visi kami termasuk kebebasan untuk berlayar di laut, suatu yang amat penting untuk kita semua,” katanya.

Harris turut menegaskan bahawa kehidupan berjuta-juta rakyat, bergantung kepada dagangan berbilion dolar, yang belayar menerusi laluan laut ini, setiap hari, katanya merujuk kepada Laut China Selatan.

“Kami tahu Beijing terus menekan, mendesak dan membuat tuntutan terhadap majoriti besar Laut China Selatan (yang mana) tuntutan tidak mengikut resam undang-undang ini ditolak berdasarkan keputusan tribunal timbang tara 2016.

“Dan tindakan Beijing ini terus mengugat ketenteraman berasaskan peraturan, mengancam kedaulatan negara (pesisir),” katanya.

AS katanya, terus berdiri teguh bersama sekutu dan rakan kongsinya dalam berdepan ancaman ini.

“Tetapi apa yang perlu saya tegaskan, pembabitan kami di Asia Tenggara dan Indo-Pasifik bukan mahu menentang mana-mana negara. Ia juga bukan bertujuan memaksa mana-mana negara memilih antara negara (tertentu).

“Sebaliknya, pembabitan kami adalah memacu visi optimistik dengan kami mempunyai penyertaan dan perkongsian bersama di rantau ini,” katanya sambil menambah, ‘visi ekonomi kami adalah juzuk penting terhadap perkara itu.”

Harris berkata, ekonomi AS ‘begitu banyak’ berkongsi dengan Asia Tenggara, daripada rantaian bekalan kepada dagangan dua hala yang semakin berkembang.

Secara keseluruhan, beliau berkata, negara-negara di rantau Asia Tenggara adalah pasaran eksport keempat terbesar AS - ‘pasaran dinamik dan subur yang diunjurkan menjadi pasaran terbesar dunia tidak lama lagi.”

“Hubungan dagang kami dengan Asia Tenggara menyokong lebih 600,000 pekerjaan buat rakyat AS. Dan kini, ketika semua menyorot pandangan untuk masa depan, kita akan mengukuhkan lagi pembabitan ekonomi ini.

“Malah, hari ini, saya dengan rasa bangga ingin mengumumkan, Amerika menawarkan diri untuk menjadi penganjur APEC 2023,” katanya naib presiden AS itu yang akan berlepas ke Vietnam petang ini.

Harris berkata, menerusi Apec atau forum Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik, AS sejak sekian lama bekerjasama dengan rakannya di Asia dan Amerika Latin bagi membina rantau yang saling berhubung ke arah usaha memacu kemakmuran ekonomi bersama.

Mengulas mengenai Myanmar, Harris berkata, AS ‘kekal gusar ekoran rampasan kuasa tentera di Burma’.

“Kami mengutuk kempen menindas yang kejam dan kami komited menyokong rakyat di sana ketika mereka berusaha mengembalikan negara di landasan demokrasi.

“Dan kami berharap, negara-negara Indo-Pasifik akan menyertai usaha kami ke arah itu,” kata wanita pertama yang dilantik naib presiden AS itu. – Bernama, 24 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen