Pesakit Ebola pertama sejak 1994 kini pulih, kata Ivory Coast


Seorang pekerja kesihatan memberi vaksin Ebola kepada seorang lelaki di Abidjan, Ivory Coast setelah negara tersebut mencatat kes pertama penyakit itu yang diketahui sejak 1994. – Gambar AFP, 25 Ogos, 2021.

SEORANG wanita Guinea yang didapati positif virus Ebola di Ivory Coast setelah tiba di sana dua minggu lalu kini sudah sembuh, kata Kementerian Kesihatan negara itu pada Selasa.

“Kami dapati dua ujian biologi kepada pesakit dalam selang waktu 48 jam membuktikan dia negatif. Dia sudah sembuh,” kata Serge Eholie, jurucakap kementerian dan ketua jabatan penyakit berjangkit negara itu kepada AFP.

“Kami batalkan kuarantinnya hari ini (Selasa). Dia tidak lagi berisiko menjangkiti. Cuma dia masih sangat letih, kami sedang jaganya di hospital,” tambah profesor itu.

Diagnosisnya adalah kes Ebola pertama disahkan di Ivory Coast sejak 1994.

Wanita berusia 18 tahun itu ke Abidjan dengan bas dari Labe di utara Guinea, perjalanan sejauh kira-kira 1,500 kilometer melintasi kawasan yang berhutan padat di mana pandemik Ebola merebak awal tahun ini dan pada 2013 hingga 2016.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia telah mengenal pasti 49 orang yang telah berhubungan dengan wanita itu, dan Ivory Coast memulakan kempen vaksinasi awal bulan ini untuk menyasarkan kontak rapat dengan pesakit dan pasukan keselamatan berdekatan sempadan Guinea.

Ebola, yang menular melalui kontak rapat bersama cairan tubuh, adalah penyakit virus bahaya yang menyebabkan demam teruk dan, dalam kes terburuk, pendarahan yang tidak dapat dihentikan.

Ivory Coast adalah negara Afrika ketiga tahun ini yang terkena virus Ebola setelah Republik Demokratik Congo dan Guinea.

Kes wanita itu telah menimbulkan salah faham antara kedua negara selepas Guinea meminta pengesahan semula ujian positifnya, mendorong Eholie mempertahankan diagnosisnya minggu lalu. – AFP, 25 Ogos, 2021.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen