MMA selar CITF tamat khidmat doktor swasta dari program vaksinasi


Ravin Palanisamy

MMA hari ini menuntut penjelasan CITF berhubung penamatan pembabitan pengamal perubatan am swasta di Selangor dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Ogos, 2021.

PERSATUAN Perubatan Malaysia (MMA) hari ini menyelar Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) berhubung penamatan pembabitan pengamal perubatan am swasta di Selangor dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Presiden MMA Dr Subramaniam Muniandy berkata CITF perlu memberi penjelasan atas keputusan drastik itu, selain mempersoalkan apakah ia dirujuk kepada Kementerian Kesihatan (KKM) terlebih dahulu.

“Adakah CITF mendapat nasihat KKM atau mengambil keputusan sendiri?

“Rakyat Malaysia masih tertanya-tanya mengapa PICK di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), sedangkan ia sepatutnya di bawah KKM.  

“Mungkin sudah tiba masanya MOSTI atau KKM memberi penjelasan kerana nampaknya CITF tidak tahu apa-apa berkenaan penjagaan kesihatan,” katanya dalam kenyataan.

CITF semalam berkata penglibatan doktor swasta dalam program imunisasi Covid-19 akan dipertimbangkan pada masa hadapan.

CITF juga berkata laporan bahawa doktor swasta tidak lagi terlibat dalam PICK adalah tidak tepat.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah pada Sabtu lalu berkata keputusan CITF untuk tidak lagi melibatkan doktor swasta bercanggah dengan cadangan beliau.

Memetik kenyataan Dr Noor Hisham di Twitter itu, Dr Subramaniam berkata langkah CITF itu berlawan dengan saranan ketua pengarah kesihatan supaya penyertaan doktor swasta dalam PICK dipertingkatkan. – 23 Ogos, 2021.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen