IOC teruja liputan kumpulan medi China pada Olimpik Beijing 


Pengerusi Jawatankuasa Sukan Olimpik Antarabangsa Thomas Bach berharap CMG dapat membuat liputan lebih meluas dan kreatif untuk Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing nanti.– Gambar EPA, 18 Ogos, 2021.

PENGERUSI Jawatankuasa Sukan Olimpik Antarabangsa (IOC), Thomas Bach merakamkan penghargaan kepada Kumpulan Media China (CMG) atas liputan meluas terhadap Sukan Olimpik Tokyo baru-baru ini.

Dalam surat yang diutuskan kepada Presiden CMG Shen Haixiong, Bach berkata liputan menerusi pelbagai platform multimedia oleh CMG yang ditonton ratusan juta penonton di seluruh dunia telah mempromosi nilai dan semangat Olimpik.

Bach juga berharap CMG dapat membuat liputan lebih meluas dan kreatif untuk Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing nanti.

Ketika diwawancara CMG pada Sukan Olimpik Tokyo, beliau turut menghargai peranan CMG, dan bersedia bekerjasama pada Sukan Olimpik Beijing 2022.  

Sementara itu, Shen Haixiong berkata pada Olimpik Tokyo, CMG telah membuat liputan televisyen untuk 500 acara sukan dan lebih 7,000 siaran langsung menggunakan platform media.

Jumlah penonton di platform multimedia pula mencecah 47.9 bilion, sekali gus mencatat reakod baharu dalam kadar tontonan acara sukan sejak 10 tahun lalu.

Shen berkata, CMG kini sedang membuat persiapan rapi untuk liputan Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing yang juga akan menyediakan saluran Olimpik untuk setiap acara.

Menurut beliau, CMG komited menjadikan Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing sebagai pentas terbaik untuk memperlihatkan perkembangan terkini dalam teknologi media dan memenuhi setiap permintaan penonton. – Bernama, 18 Ogos, 2021.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen