Kematian norma baharu


Hadri Shah

BERITA tentang kematian sifatnya mengejutkan. Menerima berita begini ibarat mendengar jeritan petir di telinga. Langsung berantakan jalur-jalur emosi. 

Ada hati luruh gugur saat dikhabarkan nafas mereka yang disayangi sudah terhenti. Ada tangisan yang tidak terpadam. Ada yang berbulan, malah bertahun lamanya masih tenggelam dalam lohong hitam kesedihan paling dalam. 

Demikian betapa tragisnya berita tentang kematian. Meski kematian adalah fitrah hidup – berita mengenainya bukanlah sejenis berita kegemaran semua. 

Semasa bencana Covid-19 mula-mula menyeringai, walaupun ada sedikit kes kematian direkodkan, satu dunia nyaris terbalik. 

Kita berkurung, bersolat hajat menolak bala, menjaga jarak dan mengenakan pelitup muka – semuanya angkara iblis Covid-19.

Walaupun kita tahu suatu hari nanti malaikat maut akan mencabut kehidupan ini, tetapi sebolehnya kita masih mahu melihat matahari esok hari. 

Kita, sebolehnya mahu melihat anak membesar. Mahu mengiringi mereka menuju gerbang perkahwinan. Mahu memanjangkan riwayat bersama yang tersayang. Maka, kita menuruti jalan norma baharu demi keselamatan diri, keluarga dan orang sekeliling. 

Namun sejak didaruratkan demi melawan iblis Covid-18, kematian sepertinya menjadi semakin murah.

Hari demi hari kita diberitahu berita ahli keluarga, saudara mara, rakan taulan mangkat ditewaskan Covid-19 durjana.

Terlalu banyak kematian berlaku sehinggakan pada satu tahap, kita cuma mampu menekan butang “retweet” poster terbaru Kementerian Kesihatan mengenai jumlah kes harian dan kematian tanpa ada rasa apa-apa. 

Apakah ibadah norma baharu selain mengenakan pelitup muka sebenarnya mengajar kita untuk berasa kosong saat kematian dikhabarkan?

Sehinggalah beberapa hari lalu, apabila artis kesayangan negeri turut terkorban, kita kembali mencongak sudah berapa ramai yang telah pergi.

Lalu atas kesedihan yang ditanggung, wajib kita bertanya, siapa lagi yang harus mati untuk kita sedar bahawasanya mimpi ngeri ini mesti dilawan habis-habisan? 

Apakah kita mengingati nama-nama seramai belasan ribu nyawa yang telah tewas? Berapa ramai lelaki hidup terkontang kanting bersama anak-anak setelah ditinggalkan isteri? Berapa ramai ibu mengandung mati tanpa divaksin? Berapa ramai anak-anak yang kini menjadi yatim piatu? 

Dan yang paling wajib kita pertanyakan, berapa ramai lagi keluarga yang ditinggal tanpa wang, harta dan makanan saat pencari rezeki naik memanjat langit? 

Berapa ramai harus mati untuk kita sedar yang kematian ini bukan kerana takdir tetapi kerana kegagalan mengurus krisis?

Tidak salah alamat

Tuan puan, kematian tidak boleh ditolak. Ia akan sampai pada masa dan ketikanya. Kematian seperti rezeki. Tidak pernah salah alamat. 

Tetapi kita wajib mengimani tindakan kita pada hari ini akan membantu menyelamatkan ramai nyawa. Dasar dan polisi kita akan menjamin si pekerja keluar bekerja dan pulang dengan selamat. 

Aturan kesihatan yang sedia ada boleh mengurangkan kadar jangkitan seterusnya mengelakkan kes-kes rumit dan mengurangkan jumlah anak-anak membesar tanpa seorang ibu dan bapa. 

Semua manusia takutkan Covid-19. Siapa tidak? Para ahli Parlimen yang majoritinya divaksin pun bimbang dicekik Covid-19 lantas mengosongkan dewan apabila berlakunya kes. Tetapi negeri ini mesti menemukan penawar agar yang tua, yang muda, yang miskin dan terpinggir dapat diselamatkan. 

Lihatlah negeri ini yang sedang dibakar. Kita menduduki carta ke-19 negara tertinggi menyaksikan kematian demi kematian berlaku – 5.25 kematian per juta orang dalam tempoh purata tujuh hari.

Bererti setiap hari, kematian semakin murah. Hampir 12,000 jiwa telah pergi termasuklah kes yang dibawa mati semakin bertambah.

Adakah maut akan berkurangan? 

Tidak, selagi kita punya manusia berkuasa berjenaka tentang kontena orang mati. Tidak, selagi tiada langkah menyebelahi orang kebanyakkan.

Tidak, selagi nyalaan lampu kecemasan hospital tidak terpadam. Tidak, selagi menteri tak tahu malu menghantar ucapan takziah di media sosial.

Tidak, selagi 24 jam yang digocohkan hal seputar istana, perebutan kuasa dan beratus-ratus salinan PDF tidak berguna. 

Tuan puan, 

Iblis Covid-19 barangkali hadir bertujuan menduga aturan hidup. Sekiranya aturan hidup menyebelahi kebanyakkan, maka datanglah seribu macam cabaran, kita mampu menempuhinya dengan keberanian.

Tetapi yang kita saksikan adalah ceritera yang sangat menyedihkan. 200,000 siswazah menganggur. Ratusan ribu kehilangan kerja. Lebih sejuta dijangkiti dan angka kematian yang meresahkan.

Negeri ini semakin hilang keberkatannya. Nilai demokrasinya adalah sebuah kelucuan paling tragis. 

Apabila kematian disebabkan krisis diberitakan, seharusnya kita melihat puncanya. Bukan berdongdang atas kerja amal, atau solat ghaib di Mekah, atau sekadar pasrah tidak bertempat akan pemergian yang disayangi. 

Bahkan kita wajib marah kerana kegagalan adalah faktor yang menyebabkan mereka terkorban, meninggalkan anak, suami, isteri bersama masa depan yang separuh neraka.

Seperkara yang wajib direnungkan sebelum kiamat terbit di horizon, apakah bangsa ini akan dikenang sebagai bangsa yang jujur menempuh cabaran krisis, atau sebagai bangsa lemah, feudal dan cuma meratapi nasib? – 14 Ogos, 2021. 
 

* Hadri Shah, penulis buku Nasionalisme Longkang, merupakan seorang penggemar laksa dan kopi buatan pari pari dari kayangan. Hari-harinya dibazirkan dengan memerhati manusia dan selfie stick mereka di KLCC dan kemudian menulis tentang dunia di dalam tren. Pada subuh hari minggu, Hadri Shah bersama-sama buburborjuis berkongsi sarapan dengan teman-teman di Kuala Lumpur.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen