Kumpulan gesa proses vaksinasi pelarian dipermudah


Noel Achariam

Pelarian masih bimbang soal keselamatan dan halangan komunikasi mendapatkan vaksin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Ogos, 2021.

BUKAN mudah bagi pelarian mendapatkan vaksin di negara ini kerana mereka berdepan banyak halangan, kata kumpulan kebajikan.

Menurut kumpulan itu, antara isu yang dihadapi ramai pelarian adalah halangan bahasa, pengangkutan ke pusat vaksinasi, tiada aplikasi MySejahtera dan kebimbangan ditahan pihak berkuasa.

Halangan ini terus wujud walaupun Malaysia menyediakan program vaksinasi masuk terus untuk semua warga asing yang berjalan di Stadium Bukit Jalil bermula 9 hingga 22 Ogos ini.

Pengasas Alliance of Chin Refugees (ACR) James Bawi berkata masalah paling lazim dihadapi pelarian adalah untuk mendaftarkan diri di MySejahtera, keselamatan dan pengangkutan ke pusat vaksinasi.

“Kami dapati ada sebilangan pelarian membatalkan temu janji mereka disebabkan jarak perjalanan ke pusat vaksinasi.

“Ada juga yang menelefon kami untuk mengetahui sama ada selamat atau tidak pergi ke pusat (vaksinasi) kerana bimbang ditahan pihak berkuasa,” katanya kepada The Malaysian Insight.

James berkata satu lagi masalah dihadapi pelarian adalah ramai antara mereka tidak biasa menggunakan aplikasi MySejahtera.

Katanya lagi, pihaknya sudah memuatnaik semua maklumat berkaitan vaksinasi di akaun Facebook mereka serta menghantar maklumat menerusi WhatsApp.

“Kami menterjemahkan semua program vaksinasi kerajaan ke Bahasa Burma untuk pelarian dan memuatnaiknya di Facebook,” katanya.

“Kami juga ada penterjemah yang bersedia (membantu) jika mereka susah untuk berkomunikasi di pusat vaksinasi.”

Program vaksinasi secara masuk terus untuk pelarian diadakan di Stadium Bukit Jalil bermula Isnin lalu sehingga 22 Ogos ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Ogos, 2021.

James berkata sangat mustahak untuk semua pelarian menyambut tawaran kerajaan untuk mendapatkan vaksin menerusi program masuk terus itu.

“Kami harap kerajaan akan membantu pelarian dan memastikan tiada tindakan diambil ke atas mereka ketika divaksin.”

Pada masa kini, terdapat 179,550 pelarian dan pencari suaka berdaftar dengan UNHCR di Malaysia.

154,860 daripadanya berasal dari Myanmar, terdiri daripada 102,960 Rohingya, 22,500 Chin dan 29,390 kaum lain yang melarikan diri daripada konflik berdarah di negara itu.

Pelarian perlu guna program masuk terus

Pengasas Beyond Borders Malaysia Mahi Ramakrishnan berkata pelarian bimbang yang pihak berkuasa akan menggunakan aplikasi MySejahtera untuk mengesan lokasi mereka.

“Ini adalah sentimen akar umbi dan kerajaan tak buat apa-apa untuk memberikan jaminan ia bukan situasi sebenar,” kata Mahi.

Bagi membantu pelarian, katanya mereka mendapatkan maklumat mereka yang diserahkan kepada sebuah lagi kumpulan sivil, SEED, yang akan mendaftarkan pelarian.

“Ramai pelarian masih tidak ada kad UNHCR lagi yang meningkatkan lagi ketakutan mereka bakal ditangkap.

“Bukan mudah nak yakinkan pelarian yang tidak ada penahanan dibuat sebaik sahaja proses vaksinasi siap.

“Dan kami tak boleh salahkan mereka bila kita sendiri (selalu) tak tepati janji (tidak menahan mereka).”

Kebimbangan ditangkap selepas divaksin antara halangan utama pelarian mendapatkan vaksin disediakan Putrajaya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Ogos, 2021.

Menurutnya, setakat ini mereka berjaya mendaftarkan 91 orang pelarian komuniti Zomi dan Afghan dari Myanmar.

“Ada antara mereka sudah dapat tarikh temu janji tetapi saya tak tahu tarikh tepat,” kata Mahi.

“Kerajaan telah gagal mendapatkan kepercayaan pendatang dan pelarian. Mereka sebahagian besar masyarakat kita dan sangat penting yang mereka juga divaksin dan proses itu dipercepat.”

Selain mengumpul maklumat dan menghantarnya kepada SEED untuk pendaftaran, mereka juga menghantar kit saringan diri kepada pelarian yang mengadu demam, sakit kepala dan badan. – 19 Ogos, 2021.

Berita penuh di sini.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen