Bangladesh mula vaksinasi Rohingya


2,600 kes Covid-19 dan 29 kematian direkodkan di kem yang menempatkan 850,000 Rohingya tetapi ramai pakar percaya lebih banyak kes tidak dikesan dan dilaporkan. – Gambar AFP, 10 Ogos, 2021.

BANGLADESH hari ini memulakan proses vaksinasi orang Rohignya yang tinggal di kem pelarian penuh sesak ketika negara Asia Selatan itu merekodkan lonjakan kes koronavirus, kata pegawai.

Pegawai kesihatan berkata 2,600 kes Covid-19 dan 29 kematian direkodkan di kem yang menempatkan 850,000 Rohingya tetapi ramai pakar percaya lebih banyak kes tidak dikesan dan dilaporkan.

Proses imunisasi berfasa itu akan menyaksikan sekitar 48,000 pelarian berusia 55 tahun ke atas menerima suntikan Sinipharm keluaran China dalam tempoh tiga hari, kata Ketua Kesihatan Mahbubur Rahman kepada AFP.

Pegawai berkata mereka menjalan “kempen kesedaran vaksinasi besar-besaran” di kem itu dengan sukarelawan menjalankan kempen pintu ke pintu untuk memberi penerangan kepentingan vaksin kepada pelarian.

Shams ud Douza, timbalan pesuruhjaya pelarian Bangladesh memberitahu AFP yang program vaksinasi akan bermula minggu ini untuk 18,000 pelarian Rohingya yang dipindahkan ke sebuah pulau di Teluk Bengal.

Bangladesh berdepan lonjakan kes sejak beberapa bulan lalu dan sebahagian besar negara dengan 169 juta penduduk itu disekat pergerakannya termasuk di kem Rohingya.

Koronavirus susah membunuh hampir 23,000 orang dan menjangkiti 1.4 juta lagi di Bangladesh, kebanyakan kes dilaporkan beberapa bulan lepas. Hampir 98% kes baharu adalah kes varian Delta yang pertama sekali dikesan di India.

“Vaksinasi untuk semua kumpulan umur adalah satu-satunya cara yang berkesan untuk menghalang penularan virus dalam kalangan populasi Rohingya dalam kem,” kata Romain Briey, ketua badan kebajikan perubatan MSF di Bangladesh.

Kebanyakan pelarian Rohingya di Bangladesh melarikan diri dari Myanmar pada 2017 dan empat tahun kemudian, masih tidak ada peluang untuk mereka kembali ke negara asal mereka. – AFP,10 Ogos, 2021.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen