MA63 perlu dipenuhi untuk Malaysia baharu, kata timbalan dekan 


Desmond Davidson

Timbalan Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Malaysia Sarawak Arnold Puyok berkata kerajaan negeri dan persekutuan perlu mengenal pasti bidang kuasa mana yang harus dikembalikan ke negeri ini atau tetap di bawah kawalan persekutuan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Ogos, 2021.

PERJANJIAN Malaysia 1963 perlu dilaksanakan dengan berkesan, terutamanya saranan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan, agar Malaysia beralih dari persengketaan mengenai perjanjian itu, kata timbalan dekan hari ini.

Timbalan Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) Arnold Puyok berkata, isu berbangkit daripada pelaksanaan perjanjian ini perlu diatasi segera sekiranya negara mahu bergerak ke hadapan dalam konteks Malaysia baharu.

Puyok yang juga penganalisis politik berkata sebelum langkah itu diambil, kerajaan negeri dan persekutuan perlu mengenal pasti bidang kuasa mana yang harus dikembalikan ke negeri ini atau tetap di bawah kawalan persekutuan.

Beliau mencadangkan pembentukan jawatankuasa hubungan persekutuan-negeri untuk “secara sistematik” memantau pelaksanaan dasar persekutuan dan negeri dan bagi memastikan  tanggungjawab jabatan persekutuan dan negeri tidak bertindih.

Puyok, dalam webinar Yayasan Perpaduan Sarawak mengenai kesan Perjanjian Malaysia 1963 terhadap integriti nasional hari ini berkata sebarang usaha untuk mengkaji semula MA63 mesti dilakukan dengan tujuan menyusun semula federalisme Malaysia “yang mana negeri-negeri diberi kuasa untuk membuat keputusan sendiri mengikut keunikan dan keperluan mereka”.

“Pembentukan Jawatankuasa Khas Kabinet MA63 adalah dipuji tetapi untuk memastikan kesinambungan federalisme Malaysia, jawatankuasa itu harus memperluas skopnya bagi melihat aspek desentralisasi kuasa persekutuan.”

Beliau berkata terdapat bukti yang menghubungkan desentralisasi dengan tadbir urus yang baik dan pertumbuhan ekonomi. – 12 Ogos, 2021.
 
Berita penuh di sini.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen